Showing posts with label slot tilam dan bantal. Show all posts
Showing posts with label slot tilam dan bantal. Show all posts

Wednesday, January 13, 2010

Tilam & Bantal : Petua Rumah Tangga Bahagia.

Lama jugak tak tulis entri pasal Slot Tilam & Bantal, kan? Teringat pulak masa aku menganggur dulu, kemain gigih lagi tengok slot tu kat cerita Wanita Hari Ini tiap hari Jumaat. Sekarang ni, takde makna dah nak duduk menghadap TV macam dulu, silap haribulan, TV yang tengok aku, adalah. heh.


Ni, hah. Beberapa tips dari mana entah aku pernah baca. Macam best jugak lah untuk dikongsi bersama pembaca setia Isu BUMPER Kahwin semua. Ayuh, mulakan!


IMG_0145

Petua rumah tangga bahagia; jangan merajuk lama-lama :p


1. Berbicara dengan lemah lembut.

Panggil dengan panggilan kesayangan dan mesra. Takkan kucing je yang ada panggilan manja, kot? Islam sendiri mengharamkan isteri memanggil suami dengan nama nya. Seelok-eloknya,panggil ‘Abang’ ke, ‘Darling’ ke, sejuk sikit hati bila dia dengar, kan. Selain tu, pandanglah suami/isteri dengan penuh kasih sayang setiap kali berbicara.


2. Membersihkan diri.

Jaga penampilan diri dan sentiasa bersih, berhias dan memakai wangi-wangian terhadap pasangan. Ini tak, bila duduk rumah, menghadap suami, tepek bedak sejuk 24 jam. Yang suami pulak, dengan kain pelekat dan baju Pagoda siang malam. Selain tu, jadikan kamar tidur tempat yang peribadi, bersih, harum dan romantik. Barulah boleh melayari masa yang menyenangkan bersama pasangan.


3. Jujur dan amanah.

Jangan memandang rendah pada pasangan, saling mengalah dan memaafkan. Paling penting, hargai kelebihan pasangan. Kalau ada kekurangan, jangan sekali-kali dedahkan kepada pengetahuan orang lain. Simpan je lah untuk diri sendiri. Anggap ia sebagai sesuatu yang istimewa sebab hanya kamu dan pasangan saja yang tahu.


4. Kerja rumah tu memang kerja isteri?

Mentaliti ni lah yang perlu dibuang jauh-jauh dalam minda seorang suami. Suami isteri perlu bekerjasama dalam melakukan kerja rumah dan berusaha meringankan beban kerja pasangan. Paling penting, jangan sekali-kali mencela hasil masakan isteri. Kemain lagi dia berpeluh sakan masak kat dapur, datang suami, sedap je komplen itu ini. Tegurlah dengan cara berhemah. Elakkan juga membandingkan pasangan dengan orang lain. Tak kiralah, dengan sepupu kita ke, dengan kekasih lama ke. Buruk padahnya.


5. Selalu romantis.

Apa salahnya selalu berpegangan tangan, bergurau senda, saling membelai kerana dengan cara ini, pasangan akan merasai dirinya sentiasa diperlukan. Ya lah, dengan kita je lah pasangan boleh buat semua ni, kan. Nak bermanja, mengada sikit. Layankan je lah, apa salahnya. Bukan orang lain pun.


6. Peruntukkan masa bersama.

Masa khusus untuk pasangan sahaja TANPA gangguan mana-mana pihak lain. Seperti makan malam berdua misalnya, solat berjemaah, bersiar-siar, takpun main PS2 sama-sama. Tak kiralah, asalkan bersama.


7. Saling mengingati.

Setiasa menasihati antara satu sama lain. Cuba perbaiki diri dan pasangan ke arah yang lebih baik. Apabila berjauhan, saling mendoakan dan merindui. Pastikan pasangan sentiasa berasa dekat dengan kita tak kiralah walau berapa ribu batu pun terpisah jauhnya.


Cukuplah 7 tips untuk sama-sama kita hayati dan amalkan. Banyak-banyak kang tak terbuat pulak :p Kalau ada lagi tips best-best yang aku jumpa, gerenti aku tepek kat sini nanti.


DSC_4605

Selamat menuju puncak bahagia.

:)



Isu BUMPER Kahwin : Lama dah tak dating dengan suami peliharaan.

Thursday, October 15, 2009

Tilam & Bantal : Nak Tinggal kat Mana Ni?

Bila berborak dengan kawan-kawan yang nak naik pelamin, aku lagi eksaited tanya diorang pasal nak settle down mana lepas kahwin berbanding tanya kahwin tema warna apa.


Melalui pengalaman sendiri, kadang-kala kita terlepas pandang bab ni sebab terlalu sibuk buat persiapan untuk hari majlis perkahwinan. Padahal, persoalan nak tinggal mana sebaik selepas diijabkabul boleh dikatakan sebagai turning point dalam alam perkahwinan. Itulah permulaan kepada segala-galanya.


2516870849_6e772c0a74

Rumah impian.

Dapat dengan kereta sekali pun apa salahnya, kan :p


b0953283485044e7beb27fadfbf763fd

Terletak kat kawasan kejiranan yang damai begini.


indoorwaterfall_5

Lepas tu, nak ada air terjun palsu kat dalam. ceh. Takpe takpe, berangan selagi boleh.


(Semua gambar adalah ihsan En. Google)

***


Bagi yang memilih untuk tinggal dengan keluarga sendiri mahupun keluarga mertua buat sementara waktu, takde masalah sangat rasanya. Tak payah pening-pening nak carik rumah sewa. Jimat pun ya. Ye lah kan, duit dah berhabis nak buat makan kenduri. Yang dah beli rumah sendiri, lagilah bahagia. Dah boleh mula hidup baru dengan selesa.


Yang jadik masalah sikit kat golongan yang nak menyewa dulu sebelum beli rumah baru. Lokasi, jarak dengan tempat kerja, kawasan kejiranan, fasiliti, kadar harga sewa malahan, sistem perparitan pun kita nak kena ambik kira. Bagi yang mengalami sindrom perkahwinan jarak jauh macam aku, lagi pening dibuatnya. oh. Pasal ni, nak kena buat entri khas kot. TIPS MENJADIK ISTERI JARAK JAUH TERHEBAT. heh.


Terima kasih kat teknologi terkini. Semua benda memang betul boleh dapat kat hujung jari je. Tak keterlaluan kalau aku kata, zaman sekarang ni, nak tempah bunga telur pun boleh pakai order kat internet je. Takyah dah nak susah payah bersengkang mata siang malam melilit batang lidi nak buat bunga telur sendiri macam zaman mak-mak kita dulu.


Ni, hah.

iPROPERTY.COM.MY

Dengan adanya laman web ni, kamu tak payah dah membazir minyak dan bertekak dengan pasangan sebab sesat jalan round satu Malaysia nak carik rumah untuk disewa.


Cuma taip je kawasan mana, rumah jenis apa, bajet sewa berapa, tadaaa! Terus boleh jumpa. Pilih je yang mana suka. Untung-untung, boleh berjiran dengan Fasha Sandha.


dreamhouse

Always been in my childhood dreams. oh.


Happy hunting, everyone!



Isu BUMPER Kahwin : Baru-baru berkahwin, duduk kat apartment pun dah rasa macam besar sangat, seolah-olah duduk banglo :p

Tuesday, April 21, 2009

Tilam & Bantal : Dugaan Alam Pertunangan.

Lepas baca kat blog Diah, Dayu dan Hidd pasal dugaan alam pertunangan, tiba-tiba teringat satu lagi email yang pernah dapat daripada En. Shuth Maskahwin.com. Best kan dia ni? Banyak betul info aku dapat sejak beli e-book Maskahwin yang Hilang tu.

Nak panjangkan lagi ilmu yang ada, macam biasa aku kongsi kat sini. Yang baik kita jadikan tauladan, yang buruk kita jadikan sempadan, gitu. Ini pun sekadar pandangan peribadi beliau. Terpulanglah pada penerimaan masing-masing, ok.

Mempersembahkan...


Kali ini saya ingin berkongsi dengan anda tentang perihal dugaan di alam pertunangan.

Kata orang, alam pertunangan ini banyak dugaannya, dan ini sering membuatkan ramai yang tertanya-tanya, apakah dan bagaimanakah bentuk dugaan-dugaan yang mungkin terpaksa dilalui itu?

Sewaktu sebelum saya bertunang dahulu, saya membayangkan dugaan itu akan datang dari pihak ketiga. Sama ada, orang lain yang tiba-tiba muncul menganggu perhubungan pertunangan kami. Ataupun dugaan daripada pihak keluarga seperti ibu, bapa, atuk, nenek, atau sedara-mara yang mungkin tidak berpuas hati dengan ikatan pertunangan kami.

Namun begitu, sangkaan saya itu sedikit meleset.
Sebenarnya, ujian & dugaan terbesar yang wujud di alam pertunangan bukanlah berpunca daripada orang atau pihak lain tetapi, dugaan yang terbesar biasanya adalah berpunca dari dalam diri kita sendiri.

Antara dugaan yang terbesar sewaktu di alam pertunangan ini adalah dugaan melawan hawa nafsu yang semakin melonjok-lonjak. Maklumlah, orang kata, apabila sudah bertunang ini, sebelah kaki dah melangkah ke alam rumahtangga.

Namun begitu, apa yang perlu kita faham, ikatan pertunangan tidak lagi menghalalkan apa-apa pun antara lelaki dan perempuan.

Sudah bertunang, tidak bermaksud anda sudah boleh berdua-duaan di tempat yang sunyi.
Sudah bertunang juga tidak bermaksud anda sudah boleh bertepuk tampar, bercium-ciuman atau pun berpeluk-pelukan di khalayak ramai.

Ramai pasangan bertunang yang terkeliru tentang hal ini.
Pada pendapat mereka, "Alah.. kan dah tunang, apa salahnya?"
Ops!.. anda sudah silap..
Ia sememangnya sesuatu yang salah!

Tujuan saya memberitahu anda hal ini adalah kerana ingin menyedarkan anda, bahawa dugaan alam pertunangan itu sebenarnya bukan sahaja datang dari luar, tetapi ia juga boleh datang dari dalam diri anda sendiri.

Jadi, bersiap-sedialah!
Sama ada dari segi kekuatan iman mahupun kekuatan kewangan.
Kalau kuat kewangan, insyallah tempoh pertunangan itu dapat dipendekkan, sekaligus dapat mengurangkan dugaan-dugaan tersebut.

Yerla, duit semua dah cukup, buat apa nak tangguh-tangguh lagi yer tak? kahwin je terus, habis cerita! Insyallah tenang sedikit hati yang sedang bergelora itu.

Jadi, jaga iman anda dan jagalah ikatan pertunangan anda.
Jangan tension-tension dan banyakkan berdoa memohon Allah.
Permudahkan segala urusan dan perjalanan hidup anda untuk menuju gerbang perkahwinan.


Dah kahwin, nak buat aksi lebih ganas daripada ni pun tak apa :p



IsuBUMPERkahwin : Tu perspektif daripada pihak lelaki. Mungkin kita yang perempuan ni banyak fikir dugaan dari sudut lain kot sampai terlepas pandang pasal dugaan yang satu ni. Dalam Islam pun dah beritahu, nafsu lelaki tu hanya satu dan kamu tahulah apa dia, kan? Sendiri mau ingat :D

Thursday, April 2, 2009

Tilam & Bantal : Nak beli apa dulu ni? (sambungan)

Entri ini adalah susulan Slot Tilam & Bantal yang lepas.

Selepas berhempas-pulas menggodek email, barulah dapat akses semula tips dan pendapat En. Shuth daripada Maskahwin.com pasal isu nak beli apa dulu lepas kahwin nanti.

Mempersembahkan...


Pertama sekali, apa yang perlu kita fahami ialah, setiap orang mempunyai tahap keselesaan, cara pemikiran serta persekitaran hidup yang berbeza-beza.

Oleh itu, sudah pastinya, jawapan bagi soalan yang berbentuk "pendapat" seperti ini akan mempunyai jawapan yang berbeza-beza. Tiada jawapan yang salah atau betul bagi soalan seperti ini.

Bagi sesetengah orang, menikmati masakan si isteri itu adalah perkara yang sangat penting dan mampu memberikan kebahagiaan.

Bagi sesetengah orang yang lain pula, suasana duduk berdua-duaan sambil menonton rancangan TV kesukaan adalah lebih menyeronokan.

Tapi, bagi saya, suasana berdua-duaan di atas katil yang empuk dengan suasana lampu yang malap itu, adalah suasana yang lebih menyeronokkan dan membahagiakan.
.. ho! ho! ho!..
Maaf, jika saya membuatkan diri anda berasa lebih ghairah dan tidak sabar-sabar untuk berkahwin.

Sekarang, baru saya tahu, mengapa ibu-bapa saya dahulu, sibuk menyuruh anak-anak mereka (termasuk saya) yang ingin mendirikan rumahtangga, membeli set bilik tidur sempena perkahwinan mereka. Rupa-rupanya, disitulah bermulanya rahsia kebahagiaan & kenikmatan hidup berumahtangga :)

Namun begitu, seperti yang saya nyatakan di atas, setiap orang mempunyai pandangan serta bajet yang berbeza-beza. Adalah baik juga, jika anda dapat melengkapkan kesemua ruangan rumah anda dengan perkara-perkara yang asas seperti, hanya tilam di bilik, hanya TV di ruang tamu, dapur & tong gas di dapur dan sebagainya.

Apa-apa pun, bijaklah berbelanja dan merancanglah bajet anda dengan teliti.

Kehidupan rumahtangga anda baru sahaja bermula, masih banyak lagi masa dan cabaran yang perlu di hadapi.



Macam mana? Dah beli set bilik tidur, belum? :p



IsuBUMPERkahwin : Selain masa berdua-duaan dalam bilik, duduk lepak tengok TV berdua sambil baring kat riba dan rambut dibelai pun merupakan momen suami-isteri yang paling romantik bagi saya! :)

Thursday, February 26, 2009

Tilam & Bantal : Nak beli apa dulu ni? Katil? Peti sejuk? Set karaoke?

Berita kurang best untuk bakal pengantin semua.

Terlalu sibuk kat dapur siang ikan (Gila semangat. Padahal tinggal nak simpan masuk fridge je.) sampai terlupa nak tengok Wanita Hari Ini dan review pasal slot Tilam & Bantal minggu ni! Maaf, ya. Takpe. Laman web TV3 kan ada. :p

Bagi menebus kekecewaan kamu semua, aku nak kongsi satu lagi tips daripada Encik Shuth si founder Maskahwin.com. Pasal kehidupan selepas berumahtangga lah, kan. Nak cerita pasal persiapan je, takut kamu lupa pulak yang sebenarnya kehidupan selepas kahwin tu lagi penting sebenarnya. Jangan tak tahu, aku dulu mau makan bulan jugak lah nak sesuaikan diri.

Mempersembahkan...

Dulu, selepas saya bertunang dengan bakal isteri saya.
Saya sudah mula membayangkan tempat tinggal (rumah) yang akan kami diami sebagai suami isteri kelak, selepas berkahwin nanti.

Beberapa perkara telah timbul di fikiran saya sewaktu membayangkan tempat tinggal impian saya dengan isteri nanti..
bagaimanakah rupa bentuk rumah yang ingin kami diami nanti?
rumah jenis apakah yang ingin kami diami?
rumah teres? apartment? kondo?
apakah peralatan-perlatan yang perlu ada?
sofa? dapur? set bilik tidur?
perlukah kami membeli rumah atau menyewa sahaja terlebih dahulu?
dan sebagainya.

Memandangkan saya bukanlah dari golongan orang-orang yang "berada", jadi, selepas puas berbincang, berhujah, bergaduh dan bertukar-tukar fikiran dengan bakal isteri saya, kami pun akhirnya telah bersetuju untuk menyewa rumah apartment sahaja selepas berkahwin nanti di dalam memulakan kehidupan kami sebagai suami isteri.

Jadi, sebulan sebelum saya diijabkabulkan, saya sudah pun mula menyewa sebuah rumah apartment untuk tempat tinggal kami berdua selepas berkahwin nanti.

Selepas saya menyewa rumah apartment tersebut, satu persoalan timbul, memandangkan rumah tersebut mempunyai bilik tidur, ruang tamu, serta ruang dapur dan bajet yang saya ada pula agak terhad, maka satu persoalan yang timbul difikiran saya....

ruang manakah yang perlu dilengkapkan terlebih dahulu?
adakah peralatan-peralatan di ruang dapur?
atau peralatan-peralatan di ruang tamu?
atau set kelengkapan di bilik tidur?

Manakah yang lebih penting di dalam usaha membina rumahtangga yang bahagia?

Lama juga saya memikirkan hal ini.

Memandangkan saya akan berumahtangga dan akan mempunyai isteri, maka, sudah pastinya saya ingin merasakan masakan isteri saya nanti. Bukankah itu yang di idam-idamkan oleh seorang bujang yang akan bergelar suami. Menjamah masakan si isteri. Oh! sudah pastinya enak masakan isteri ku nanti. (saya berangan dalam hati)

Tapi, untuk itu saya perlulah terlebih dahulu menyediakan alat-alat kelengkapan untuk isteri saya memasak. Jadi, set kelengkapan memasak agak penting juga untuk membina rumahtangga yang bahagia.

Tetapi, ruang tamu juga agak penting.
Bayangkan hidup anda tanpa TV dan radio.
Anda pulang ke rumah, melihat isteri anda dan keadaan rumah anda yang sungguh sunyi sepi, seperti berada di kawasan perkuburan. Oh! Tidak. Anda mesti memiliki TV. Bila ada TV, mestilah nak ada tempat letak TV, DVD player, sofa untuk rileks-rileks serta karpet di ruang tamu.

Hmm.. banyak jugak belanjanya tu.

Bagaimana pula dengan set bilik tidur?
Takkan ingin tidur di atas lantai yang beralaskan tikar sahaja?
Oh! Abislah sakit-sakit seluruh badan nanti. Almari untuk letak baju serta meja solek juga penting untuk anda berhias dan mempersiapkan diri untuk pergi ke tempat kerja.

Oh! Satu persoalan yang nampak agak remeh, tapi agak memeningkan kepala juga. Lebih-lebih lagi jika bajet anda untuk rumah baru ini sangat kecil
(sebab banyak bajet dah digunakan untuk belanja kahwin).

Jadi, saya ingin bertanya kepada anda.
Jika anda, ruang manakah yang akan anda lengkapkan terlebih dahulu?
Adakah ruang di bilik tidur?
Ruang tamu?
Ataupun ruang dapur rumah anda?

Saya ingin dengar jawapan dan pendapat anda terlebih dahulu sebelum saya memberikan jawapan saya. Saya tunggu jawapan dari anda.

Rumah Idaman.


Hah? Apa pendapat kamu?

Sila beritahu.

Nak tahu apa pandangan Encik Shuth pasal isu ni?

Tungguuuuuu!!!


IsuBUMPERkahwin : Sebelum kahwin dulu ansur-ansur beli set bilik tidur, mesin basuh, TV dan peti sejuk dulu. Rumah pun sewa apartment je. Jadiklah nak mulakan hidup berdua.

Thursday, February 19, 2009

Tilam & Bantal : Tips goda isteri.

Kamu pernah menonton Wanita Hari Ini?

Sebagai bakal pengantin dan isteri, aku cadangkan kamu semua menontonnya. Terutamanya slot Tilam & Bantal siaran hari Jumaat tu. Banyak sangat tips dan ilmu rumahtangga yang boleh kita pelajari.

Perlu diingat, selesai majlis perkahwinan, bukan bererti dah selesai semuanya. Sebaliknya, itulah permulaan hidup baru. Dah tukar status, pegang tanggungjawab sebagai isteri, menantu dan ada rezeki, insyaallah jadi ibu. Jadi, ilmu rumahtangga ni lah yang lagi penting berbanding persiapan kita bagai nak rak tu.

Slot Tilam & Bantal tadi, tetamu jemputan nya Dato' Dr. Fazilah Kamsah dan pelakon; Zul Yahya serta isterinya. Topik nya pulak, pasal 'Goda Isteri'.

Seronok jugak aku dengar perbincangan mereka. Lagi pulak bila masuk tang panggilan daripada penonton di rumah. Dari situ, baru lah kita dapat tahu ada macam-macam jenis orang rupanya kat dunia ni. Tiap orang, lain masalahnya.

Paling menarik perhatian, seorang penonton mengadu, dia tinggal dengan ibu dari zaman bujang sampai lah sejak dah berkahwin sebab kasihankan ibu yang tinggal sendiri. Dia pulak anak tunggal.

Dia dan suami takde lah punya masalah besar mana, cuma dia dan suami rasa macam terbatas pergerakan dan pergaulan bila tak duduk kat rumah sendiri. Suami isteri ni macam rasa malu bila nak bermesra atau bermanja-manja kat rumah ibunya mahupun di rumah mentua. Segan nak lepak atas riba masa tengok TV, malu nak peluk dan cium pipi suami bila ibunya ada sama.

Pendek kata, masa yang ada untuk bermanja berdua, hanya lah pada waktu malam, di bilik tidur.

Nak dijadikan cerita, si suami pulak jenis yang suka keluar main bola malam-malam. Tinggal lah si isteri duduk bilik seorang diri, kempunan nak dibelai dan dimanja oleh suami. Sampaikan hubungan mereka suami isteri jadi makin dingin dari hari ke hari. Nak adakan hubungan suami isteri pun, seminggu sekali belum tentu lagi.


Sedangkan lidah lagi tergigit, inikan pula suami isteri.


Cadangan Dr. Fazilah ;


Lagi bagus kalau dapat duduk rumah sendiri.
Lebih-lebih lagi, kalau pengantin baru sebab baru nak pupuk kemesraan antara satu sama lain. Kalau ada ahli keluarga terdekat tinggal bersama, mesti lah ada rasa segan dan kekok bila nak bermanja-manja.


Lagi pulak, bila dapat suami yang punya ego tinggi.
Tak suka tunjuk kasih sayang kat isteri depan orang lain.
Tak nak dikata sebagai mat bunga, jiwang, geli-geleman dan sebagainya. Memang kecik lah hati isteri tadi.


Tapi, kata Dr. Fazilah, duduk dengan ibu pun tak jadi masalah.
Lagi besar pahalanya.
Cuma, antara suami isteri, perlu ada komunikasi.
Isteri perlu cakap dengan suami yang dia suka dibelai dan dimanja, tak kiralah kat mana-mana, depan siapa pun. Tapi, takdelah bermanja sampai tahap melebih-lebih, kan.


Sambil menonton Tv, isteri boleh baring atas riba suami.
Kalau ibu tegur, tak manis ke, macam miang je kamu berdua, balas balik, ini sunnah Nabi, ibu. Nabi dulu selalu baring atas riba isteri kalau nak bermanja dengan isterinya.
Kalau dah dikata sunnah Nabi, takkan lah ibu nak tuduh macam-macam lagi, kan?


Semasa tidur malam, pegang tangan antara satu sama lain.
Gugur dosa antara keduanya.
Amalkan jugak tidur berkongsi satu selimut dan tidak memakai apa-apa dibawahnya.
(Dr. Fazilah yang cakap, ye. Bukan aku memandai kata :p)


Kalau bergaduh, jangan memaling muka daripada suami semasa tidur. Hadap jugak.
Tak kiralah muka monyok macam mana sekalipun.
Kalau boleh, tetapkan peraturan, solat berjemaah dan makan bersama-sama, sekurang-kurangnya sekali dalam sehari.
Selain tu, mandi bersama-sama pun boleh dijadikan sebagai rutin untuk eratkan lagi hubungan antara suami isteri.


Isteri perlu sentiasa berhias dan berwangi-wangian untuk suami.
Bukan setakat keluar rumah je baru nak melawa.
Kalau isteri dah pakai lawa-lawa, jangan lah buat tak tau aje,
pujilah dia cantik, dia lawa.
Suami jugak tak terkecuali.
Jangan dok sarung kain pelekat dan baju Pagoda je 24 jam.
Macam mana lah isteri nak tergoda.


Pulang dari kerja, terus peluk dan cium isteri.
Sentuhan itu bagaikan satu terapi.
Nescaya, penat lelah kerja akan hilang serta-merta.
Belajar lebih banyak mendengar daripada bersuara sebab perempuan ni lebih suka kalau suaminya mendengar masalah dia.
Cuba bahagiakan isteri dengan sekali-sekala membantu buat kerja-kerja di dapur, masak untuk isteri, sidai kain baju.
Ingat tarikh-tarikh penting kamu berdua dan belikan hadiah.
Senyum lebar sampai telinga lah dia.


Paling penting, sentiasa ucapkan kata-kata cinta dan rindu macam zaman bercinta dulu setiap hari. Orang perempuan memang suka.
Lebih-lebih lagi kalau dah bertahun-tahun berumahtangga.
Lagi lah dia nak dengar kata-kata yang suami sayang dia,
kalau boleh tiap saat, tiap ketika.
Walaupun dia tak beritahu, tapi dia mahu sebenarnya.


Bukan susah sangat pun nak goda isteri, kata Dr. Fazilah lagi.


Hah, tuuu dia..!

Kemain banyak lagi tips dan ilmu yang aku tak tahu rupanya. Ada sesetengah tips tu, aku memang selalu amalkan bersama-sama suami macam solat jemaah, makan sama-sama dan mandi berdua (ehem).

Tapi, bila tang bergaduh sampai memaling muka masa tidur tu, memang terkena kat batang hidung sendiri laaa. :p


IsuBUMPERkahwin : Jangan goda isteri orang pulak, ye!