Showing posts with label maskahwin. Show all posts
Showing posts with label maskahwin. Show all posts

Sunday, December 13, 2009

Mas Kahwin Semakin Membebankan?

DSC_3536

Mas kahwin aku dulu RM 22.50 tunai.


Sekarang ni kecoh sana-sini cakap pasal mas kahwin RM 300 yang baru diisyhtiharkan oleh kerajaan negeri Selangor dikatakan sebagai terlalu mahal. Malahan, ada yang cakap ia terlalu membebankan!


Pada hemat aku, RM 300 untuk bayaran mas kahwin adalah berpatutan. Lebih-lebih lagi apabila melibatkan kos sara hidup yang semakin tinggi terutamanya di kawasan negeri Selangor. Negeri-negeri lain pun patut mengkaji semula nilai mas kahwin masing-masing. Biar berpadanan dengan kadar semasa.


Tak keterlaluan kalau dikatakan bayaran duit hantaran yang mencecah beribu-ribu lemon tu jauh lebih membebankan sebenarnya! Padahal, duit hantaran tu bukan wajib pun.


Tu lah yang kebanyakan orang kita tak sedar. Kemain lagi canang satu kampung berapa duit hantaran yang anak perempuan dia terima. Masa tu, tak pulak rasa macam membebankan pengantin lelaki ke apa. Tup tup bila mas kahwin jadik 3 ratus, kecohnya dah macam 3 ribu!


Kepada bakal pengantin sekalian, tak kiralah berapa nilai mas kahwin pada masa-masa akan datang, pokok pangkalnya, kukuhkan kedudukan kewangan dulu sebelum berumahtangga. Belajar cara-cara nak uruskan kewangan keluarga daripada sekarang. Dapatkan pandangan daripada orang yang lebih berpengalaman macam mak ayah kita, lagi bagus sebenarnya.


Ingat, duit yang kita simpan untuk kahwin tu, bukan sekadar guna untuk majlis kahwin je, ye. Usai selesai je majlis, banyak lagi wang yang akan mengalir keluar untuk memulakan bahtera rumahtangga.


Mana nak beli beras lagi, sabun basuh, tong gas, peti sejuk yadda yadda. Semua tu nak beli pakai duit. Melainkan kad kahwin kamu yang tebal kemain dan wangi harum semerbak tu boleh dijual semula secara barter, maka tak perlu lah kamu risau :p


Oh, dah alang-alang aku beriya tulis pasal mas kahwin semua ni, nah aku tepek sekali kadar semasa nilai mas kahwin ikut negeri. haaa... pilih la mana-mana yang berkenan di hati.


Johor: RM 22.50
Melaka: RM 40.00
Negeri Sembilan:
RM 24.00 (Bukan Waris – Dara)
RM 12.00 (Bukan Waris – Janda)
RM 48.00 (Waris – Dara)
RM 24.00 (Waris – Janda)
Selangor: RM 80.00 (Dara) , RM 40.00 (Janda)
Kuala Lumpur: RM 80.00 (Dara) , RM 40.00 (Janda)
Perak: RM 101.00
Pulau Pinang: RM 24.00
Pahang: RM 22.50
Sabah: RM 100.00 (Dara) , RM 80.00 (Janda)
Sarawak: RM 120.00
Labuan: RM 80.00
Kedah, Perlis, Terengganu, Kelantan :
Tidak ditetapkan (biasanya, nilai duit hantaran dikira sebagai mas kahwin)

(Sumber : Hidup Biar Sedap)

Dan, untuk tips menguruskan kewangan dan rahsia kumpul duit cepat untuk kahwin boleh didapati di Maskahwin.com. Nescaya, kalau dizinkan Tuhan, kamu boleh kahwin muda macam aku. heh.

Semoga berjaya!

:)



Isu BUMPER Kahwin : Pilu rasa hati baca berita pasal pengantin baru yang menemui ajal sebaik je selamat dijabkabulkan. Kita hanya mampu merancang, Tuhan jugak yang maha menentukan. Alfatihah.

Monday, February 2, 2009

Emas. Harta wanita. / Cincin kahwin.

Terasa sangat sendu. Tiba-tiba aku rindu dia sangat-sangat.

Tak tahu kenapa. Rindu suara dia, ketawa dia, senyum dia, wajah dia. Semuanya.

Itu aku, anak saudara dia. Bayangkan rindu isteri dan anak-anak dia. Tak tertanggung rasanya.

Seperti yang aku kata, ini adalah blog ternakan aku di kala sendu. Maka, dengan air mata yang mencurah-curah di pipi, aku mulakan entri ini.

Mudah-mudahan reda lah hujan lebat di mata ni nanti.

**********

Tadi bloghopping kat blog bakal pengantin semua. Semua tengah rancak buat persiapan nampaknya. Sampai stress dibuatnya.

Bertabahlah wahai pengantin semua.

Itulah orang kata, ingat senang ke nak bergelar raja sehari kalau kita ni sah-sah bukan dari keturunan kerabat diraja. Tapi, aku sangat berbangga dan kagum dengan pengantin yang uruskan segala persiapan perkahwinan sendiri. Semua benda, kalau boleh, nak buat sendiri.

Itulah yang sepatutnya pun. Majlis untuk diri sendiri pun. Apa salahnya put some effort. Biarlah buruk pun, tak cantik orang kata. Yang penting, semua tu atas usaha titik peluh sendiri.

Very high sentimental value gitu.

Orang yang tak buat sendiri, main upah je sana-sini, takkan dapat rasa perasaan semua tu. Dan takkan hargai setiap benda dan perkara yang terlibat dalam persiapan perkahwinan dia sama macam orang yang D.I.Y segala benda dari awal hingga akhir.

Balik kat tajuk kita. Pasal emas.

Lama dah orang request, mintak aku usulkan kedai barang kemas yang sesuai untuk di ushar. Baru ni lah aku berkesempatan nak tulis.

Lagipun, aku bukannya wedding planner profesional.

Bukan jugak anak towkey kedai emas.

Aku cuma kongsi pengalaman uruskan persiapan perkahwinan sendiri sikit masa dulu.

Ya. Betul lah. Memang stress.

Bila sebut pasal emas. Memang tak boleh nak dipisahkan dengan wanita. Sedar atau tak, itulah harta yang kita ada. Dari segi material lah.

Cincin pertunangan dari uncle Poh Kong.


Sebab norma kehidupan biasa menunjukkan, sebaik mendirikan perkahwinan, rumah; suami beli, tanah; suami punya nama. Isteri? Nan ado. Menumpang je.

Kereta? Oh. Itu bukan jatuh dalam aset. Tak macam rumah dan tanah, lagi lama, lagi berharga. Kamu mana tahu, tapak asal rumah nenek moyang kamu duduk dulu sekarang ni dah berdiri sebijik bangunan KLCC. Nilai hartanah sentiasa naik. Ikut peredaran zaman dan lokasi lah.

Sama jugak macam barang-barang antik. Makin berkarat, makin tinggi nilai estetika dan Ringgit Malaysia nya.

Sebab tu aku kata, emas harta wanita. Orang laki haram pakai emas.

Maka dengan itu, masa nak pilih barang kemas; tak kisah la cincin ke, rantai ke, gelang ke dan sebagainya, untuk dijadikan sebagai hantaran perkahwinan atau dijadikan sebagai mas kahwin, pilih yang nilai nya tidak akan jatuh secara mendadak bila nak gadai.

Bukan apa. Itu je lah harta yang kita ada. Kalau ada apa-apa kejadian atau kecemasan, terpaksa jugak buat apa saja untuk dapatkan duit, kurang-kurang boleh jugak tolak kat pajak gadai. Paling tidak pun, boleh dijadikkan cagaran.

Mesti ada yang kata dalam hati, "Takkan lah nak gadai cincin kahwin kot."

Ingat. Jangan main-main dengan perkara yang kita tak boleh jangka ni. Kalau dah terdesak sangat, semua benda boleh jadi.

Cincin kahwin dari pakcik Habib.


Mak aku kata, emas 916 sekarang berharga RM 105 bagi setiap satu gram. Emas lain-lain, dia tak update, sebab tak minat. Kata mak lagi, dia lagi prefer emas 916 sebab ia mempunyai kandungan lebih 90% emas. Kalau emas Kelantan lagi pulak. Kira ikut ringgit. Aku tak menahu camana caranya. Mungkin ada orang-orang sana yang boleh tolong explain kot.

Tengok sini, nak tahu lebih lanjut pasal jenis-jenis emas.

Ada jugak tanya, nak beli emas kuning ke putih, ye?

Kalau ikut orang-orang tua, sah-sah la diorang akan melenting tengok kamu beli emas putih. Takde second-hand value katanya. Lagi besar gelang bakal suami kamu beli, maka lagi lebar lah senyum mak kamu dan kata dalam hati, "Beruntung anak aku dapat laki banyak duit. Lepas ni boleh mintak rantai bobot pulak."

Aku gelar rantai bobot mak aku 'rantai hiphop'.


Lagi satu, mak-mak kita pun tak berapa berkenan dengan berlian. Pun alasan sama. Takde second-hand value. Dia tak heran pun kalau kamu dapat cincin kahwin emas putih bertatah berlian berkarat-karat dan besar bak mata ikan paus macam cincin kahwin Datuk Siti tu. Dia akan kata, "Eleh, zircon je tu. Takpun Zhulian."

Kita pulak akan kata, up-to-date lah. Trend, babe.

Kena lah beli emas putih. Emas kuning ni masa zaman mak-mak dulu, boleh lah. Kalau boleh, yang lagi halus, lagi cantik. Tak nak lah gelang besar serupa gari tangan macam yang cerita Mami Jarum pakai tu.

Kalau gadai ni, mau boleh buat down payment Honda City sebijik.


Ni hah pulak, cerita pasal emas putih.

Sila baca sendiri, ye.

Lepas tu, buat lah pilihan sendiri. Nak yang kuning ke, yang putih. Nak batu zircon ke, mutiara, berlian atau plain saja. Lain orang, lain citarasa.

Kalau dah mengidam sangat nak pakai emas putih, jangan mengada-ngan pulak nak fikir, "Cincin kahwin ni nak pakai sampai tua, kalau boleh sampai hujung nyawa, dah tua nanti, takkan nak pakai emas putih, nak pakai gelang dan rantai yang halus-halus."

Terus tak jadik beli emas putih.

Paksa jugak diri beli gelang besar gajah, konon-konon demi masa depan la. Bahananya, gelang dan rantai bobot tu duduk dalam laci je nanti, sebab malu nak pakai. Takut kena kutuk dengan kawan-kawan sebab old-fashioned.

Dah kalau masa tengah muda ni, kamu tak pakai apa yang diidamkan semata-mata fikir ia tak sesuai lagi untuk masa tua nanti. Rugi betul. Tengah muda remaja ni lah nak pakai. Dah tua nanti, dah segan pulak. Masa tua, itu lain cerita.

Mintak lah rantai bobot dan gelang gajah tu kat suami kamu bila dah sampai usia nya nanti, ye.

Untuk lelaki pulak. Trend sekarang, tunang pun lelaki nak sarung cincin. Kahwin pun nak jugakkkk. Pada aku, masa tunang, tak payah lah. Kita back to basic. Bagi cincin tanda dan tunang kat perempuan je. Masa kahwin nanti, boleh lah kalau nak bagi suami cincin kahwin sebagai tanda kenang-kenangan.

Percayalah. Lelaki ni bukan cermat macam orang perempuan bila masuk bab menjaga barang-barang kemas ni.

Jadi, tak payah la susah-payah nak belikan yang mahal-mahal. Cukup syarat sudah. Sudahnya nanti, dia tinggal je cincin suasa ke platinum segala tu dalam bekas cincin. Mujur dia tak tinggal atas sinki dalam tandas. Sakit je hati tengok nya. :p

Lagi satu, jangan tanya aku, lelaki boleh pakai suasa ke tak? Silver ke. Aku tak cukup ilmu lagi nak hujah pasal tu. Apa yang aku tau, asal nama pangkal dah emas, tak kira lah kuning ke putih, tetap HARAM untuk lelaki. Mungkin ada yang pakar, boleh lah tolong jelaskan nanti.

Untuk pilihan kedai-kedai barang kemas yang ada, jangan harap aku nak masukkan Tiffany & co. mahupun Chopard atau Cartier atau The Hearts on Fire atau The Carat Club kat dalam senarai. Sebab aku tak pernah terlintas pun nak beli cincin kahwin kat sini. Seram nak masuk.

Ye lah. Kita ukur baju kat badan sendiri, kan.

Pilihan standard, Habib Jewels lah kan.

Harga emas semua sama pun kat mana-mana kedai. Beza dari segi harga upah, design dan jenama.

Secara jujur, aku lagi suka kat Poh Kong. Banyak pilihan. Nak yang satu mata, dua mata, mata berderet-deret macam cincin kahwin aku pun ada. Merata tempat pun ada Poh Kong ni. Harga pun lebih berpatutuan kalau nak dibanding kan dari segi saiz berlian yang lagi besar berbanding kat Habib.

Kalau Habib, mau nak kena pergi yang kat Ampang, baru banyak sikit pilihan dia. Itu pun tunggu masa sale gila-gila punya. Lepas tu limited pulak. Nak kena berebut-rebut dengan orang lain. Lagi malang, kalau kita tak sedar, cincin tu nanti, sama pulak dengan cincin kahwin saudara-mara terdekat. Tensen.

Tapi, kalau dah dari awal memang dah niat, nak jugak ade sebijik bekas cincin dari Habib, apa salahnya. Bukan selalu pun kan. Nak-nak pulak jenis yang budget ketat macam aku. Rembat je lah mana yang ada masa sale tu. Nak beli berlian masa takde sale, gigit jari je lah.

Pilihan lain?

Wah Chan
Tomei
DeGem
Selberan
Diamond & Platinum
KM Oli Mohamed
Lazo Diamond

Kedai-kedai emas yang berhampiran rumah kamu.

(Baca : Yang terakhir ni pilihan terbaik. Sebab boleh buat custom-made dan boleh tawar-menawar dari segi harga upah. Kalau kedai glemer-glemer ni, jangan harap la. Harga jenama dia je, mau makan ratus dah.)


Ada satu lagi cadangan.

Kalau awal-awal dah berangan nak engrave nama atau love message atau nama atau tarikh kahwin atau apa-apalah kat cincin kahwin nanti, silalah buat siap-siap masa tempah tu. Jangan buat alasan, nanti-nanti lah. Lepas kahwin pun boleh buat apa. Sudahnya, tak jugak buat macam aku ni.

Engraved rings. (Credit : Limoges Jewelry)


Kalau beli kat Poh Kong, nak engrave, dia bagi FREE. Kalau kat Habib, dia charge. Ni ikut pengalaman aku dulu aa. Kalau kat tempat lain, aku tak tahu macam mana.

Seperti biasa, tepuk dada, tengok poket dulu!


IsuBUMPERkahwin : Hujan dah reda.

Monday, January 5, 2009

Macam mana nak tau kita dah bersedia ke belum?

Bila sebut pasal kahwin, kepala kita ni mesti ligat berfikir pasal tema perkahwinan; nak ala moden ke, tradisional ke, english white ke, jawa ke atau macam-macam lagi lah tema pilihan yang ada.


Paling tidak pun, mesti dah sibuk fikir pasal fesyen baju pengantin yang nak dipakai nanti. Cenderahati untuk tetamu lagi. Pendek kata, macam-macam hal lah yang perlu difikir pasal kahwin ni.


Dah nama pun raja sehari, kan. Mesti la kita nak hari tu jadi yang paling bermakna dan bersejarah buat kita. Paling tidak pun, yang memuaskan hati sendiri dan takkan rasa menyesal bila dah sudah nanti.


Takkan nak kahwin lagi sekali, kan?


Dalam pada kita sibuk fikir hal-hal macam yang kat atas tadi, orang kita selalu terlepas pandang pada hal-hal yang utama. Perkara asas dalam perkahwinan. Yang kadang-kadang, kita macam buat tak peduli je. Bila dah nak dekat hari majlis nya, baru lah nak terkedek-kedek nak siapkan diri dengan perkara-perkara asas ni.



Perkara asas pertama : Persiapan dan persediaan diri.

Kalau tanya diri sendiri, memang sampai bila-bila pun kita masih belum bersedia nak bergelar suami-isteri. Ada saja alasan nak diberi. Tak cukup duit lah. Tak cukup umur lagi. Belum puas enjoy. Baru nak kenal. Tak sedia nak pikul tanggungjawab. Dan macam-macam lagi.


Sebab berkahwin ni bukannya macam main pondok-pondok masa kecik-kecik dulu. Main kipas pengantin pakai daun, duduk atas kerusi kecik, buat bunyik kompang sendirik, pastu terus dapat anak kalau tido dekat-dekat.


Banyak tanggungjawab yang dah tunggu sebaik saja lafaz, "Aku terima nikah si polan bt si polan dengan mas kahwinnya sekian ringgit tunai...." dan diikuti dengan "Sah."


Bagi lelaki, dosa pahala isteri, dah berpindah ke bahu dia pulak. Dah jadi tanggungan seumur hidup. Nak-nak pulak kalau dia tu anak sulung. Kebajikan keluarga sendiri dan sebelah mertua pun jatuh kat bahu dia. Berat tuh.


Kena siapkan diri sejak dari sebelum berkahwin lagi dari segi mental dan fizikal. Kena faham yang isteri tu bukan milik dia seorang. Kena jugak faham yang dia tak boleh melebihkan isteri berbanding ibu sendiri sebab syurga dia masih terletak di bawah telapak kaki ibu. Paling penting, kena seimbangkan antara keluarga sendiri dan sebelah mertua. Tak boleh berat sebelah.


Bagi perempuan pulak, syurga dia dah berpindah ke telapak kaki suami. Perlu taat dan patuh terhadap suami. Cuba melayan suami dengan sebaik mungkin. Jaga maruah diri untuk suami. Perlu faham yang kini setiap keputusan perlu dibincangkan dulu. Tak boleh buat sesuka hati macam dulu. Perlu jugak faham dah punya dua keluarga yang perlu dilayan sama rata.


Jangan ingat benda-benda ni semudah yang disangka. Kalau kita tak betul-betul bersedia, alamatnya boleh jadik huru-hara.


Dinasihatkan agar masa dalam tempoh bertunang tu, pergilah ziarah keluarga bakal mertua. Kenal-kenal dulu adik-beradiknya. Faham dulu ibu dan bapanya. Cuba belajar sikit-sikit adat resam di tempatnya. Takde lah nanti macam terkena kejutan budaya.



Perkara asas kedua : Fizikal.

Selain mempersiapkan diri dari segi mental untuk memikul tanggungjawab dan sebagainya, dari segi fizikal pun penting jugak. Tapi itu bukan bermakna, yang berkulit gelap, siang malam bantai guna krim pencerah muka semata-mata nak nampak cerah masa di hari persandingan. Silap hari bulan, tersalah guna produk, bukan makin cerah, berbelang-belang pulak jadik nya.


Apa yang perlu dilakukan hanyalah menjadikan diri kita yang seadanya itu berada dalam keadaan terbaik pada hari bersejarah nanti. Jaga kesihatan sebaiknya. Jangan macam aku. Boleh pulak kena chiikugunya masa dekat-dekat nak kahwin ari tu. Habis masa bersanding, sakit sendi-sendi semua.


Jaga jugak pemakanan. Tak nak lah nanti ada bahagian-bahagian yang tak cantik dipandang bila sarung kebaya. Satu lagi, tak payah lah susah payah nak makan tongkat ali lah, minum kopi jantan lah. Dah banyak sangat yang menipu. Tak baik untuk kesihatan dalam jangka masa panjang. Cukuplah dengan mengamalkan senaman asas yang baik untuk jaga stamina dan kesihatan tubuh secara luaran dan dalaman. Itu lebih selamat.


Kalau ada petua orang-orang tua yang elok untuk diamalkan, buatlah. Contohnya, elakkan berjumpa dengan bakal suami atau isteri dalam tempoh masa 40 hari sebelum majlis, hilang seri katanya.


Sebenarnya, petua ni ada jugak rasionalnya, kalau dah lama kita tak jumpa pasangan kita, mesti la rasa rindu tu membara-bara, kan? Secara tak langsung, bila nampak je muka si dia pada hari kejadian, nak-nak pulak dia nampak segak dan jelita, mesti lah kita rasa teruja, melompat-lompat dalam hati sebab suka, perasaan nih la yang akan terpancar kat muka. Itulah 'seri' yang dimaksudkan oleh orang tua kita.


Tips : Minum air putih banyak-banyak, jangan mandi laut dan jangan buat facial dalam tempoh masa 2-3 minggu nak dekat majlis. Nanti bengkak dan merah-merah muka. Susah pulak kerja mak andam. Bagi yang lelaki pulak, elak gunting rambut sehari sebelum majlis. Potonglah 2-3 minggu sebelum. Biar rambut tu panjang sikit. Nampak natural.



Perkara asas ketiga : Budget, mas kahwin dan wang hantaran.

Ini jugak benda penting. Budget perkahwinan. Tetapkan awal-awal jenis perkahwinan macam mana yang kita impikan. Siapa yang kita nak jemput. Nak katering ke atau masak sendiri.


Kalau yang kecil-kecilan, dihadiri oleh keluarga dan kenalan terdekat je, budget tu lebih kurang sama macam kita nak buat kenduri kesyukuran atau potong jambul je. Kalau yang sederhana tapi meriah macam aku, yang jemput keluarga, ipar duai, kawan sekolah, kawan matrik, kawan universiti, kawan abah, kawan mak, kawan adik-adik dan orang sekampung, berhabis jugak lah dalam 20 - 30 ribu untuk sebelah pihak je. Kalau nak stok-stok yang macam artis pulak, tak tahu lah pulak habis sampai berapa. Mau nak kena gadai rumah dan kereta.


Walau apa pun, kalau boleh, cuba elakkan buat pinjaman atau dengan kata lain berhutang untuk kahwin. Perkahwinan ni untuk memudahkan kita, menghalalkan hubungan, bukannya untuk menyusahkan sampai terpaksa meminjam di sana-sini. Macam kes kahwin artis kita. Pinjam sampai 30 ribu untuk bayar duit hantaran diri sendiri. Belum masuk hutang nak anjurkan majlis besar-besaran kat hotel 5 bintang. Bila bercerai, habis terbongkar kat satu Malaysia, yang dia berkahwin bagai nak rak tu dulu, semua hutang je.


Pasal mas kahwin dan hantaran pulak. Seperti kita sedia maklum, apa yang wajib untuk nikah hanyalah mas kahwin. Ikutlah berapa nilai yang dah ditetapkan oleh setiap negeri. Tapi, kalau si suami nak bagi lebih pun, apa salahnya. Itu hadiah dari dia untuk isterinya. Pasal hantaran pulak, ini lah yang selalu sangat digembar-gemburkan oleh orang kita. Teringat masa aku bertunang dulu, sibuk je semua orang nak tahu berapa jumlah hantaran aku. Sampai ke makcik-pakcik setaman pun sibuk nak tahu. Padahal, hantaran ni kalau takde pun takpe.


Hantaran adalah duit belanja yang diberi oleh pihak lelaki untuk meringankan perbelanjaan majlis di sebelah pihak perempuan. Kalau ikut konsep sebenarnya, jumlah duit hantaran ni hanya boleh ditetapkan oleh pihak lelaki. Ataupun hasil perbincangan yang dah dipersetujui antara pengantin lelaki dan perempuan. Sebab ia dikira sebagai hadiah jugak. Tapi, bukan milik pengantin perempuan sepenuhnya. Ikut budi bicara keluarga masing-masing macam mana.


Tapi, orang kita zaman sekarang ni, dengan muka temboknya, pihak perempuan awal-awal dah tetapkan jumlah hantaran yang perlu ditanggung oleh pengantin lelaki. Siap dengan bangganya dicanang kat satu kampung. Sewajarnya, jumlah hantaran tu biarlah jadi rahsia antara pengantin dan keluarga sahaja. Dan kalau boleh, jumlahnya jangan lah sampai membebankan pihak lelaki. Kita nak satukan dua hati, bukannya nak biarkan pihak yang satu lagi tu hari-hari ikat perut makan megi.


Mungkin akan buat satu entri khas pasal budget lagi nanti.



Perkara asas keempat : Kursus perkahwinan.

Ini pun kita selalu sambil lewa je. Dah sibuk-sibuk tempah baju semua, lupa pulak nak pergi kursus kahwin. Nak ambil kursus kahwin pun, pastikan daripada pihak yang bertauliah. Pastikan jugak sijil tu, ada cop pejabat agama di mana kursus tu diambil. Kalau tak, dikira macam tak sah la sijil kursus kahwin tu nanti. Terpaksa lah duduk pagi sampai petang dengar 5-6 sesi ceramah lagi.


Sediakan diri dengan ilmu rumahtangga macam tauhid, munakahat, ibadat, pengurusan ekonomi, pendidikan seks, perancangan keluarga dan sebagainya. Bagi bakal pengantin yang berasal dari Johor macam aku, pergi carik balik kitab Mutaa'al Badrin takpun buku Kafa ke, hafal lah apa yang patut, sebab ada interview masa nak mohon surat nikah nanti.


Soalan apa yang ditanya?

Macam-macam lah jugak. Asasnya, kena mengucap dua kalimah syahadah, baca doa qunut, tahiyat akhir, niat mandi wajib, perkara-perkara yang menyebabkan mandi wajib dan sebagainya. Soalan kebanyakannya perkara asas je. Yang dah biasa kita amalkan. Tapi, kalau tak bersedia, mau kantoi jugak nanti.



Perkara asas kelima : Ujian HIV.

Baru je diumumkan beberapa minggu lalu. Semua bakal pengantin diwajibkan ambil ujian HIV sebelum memohon untuk bernikah. Ingat ye, takde surat doktor ni, tak boleh nikah. Lain lah kalau kamu nak kahwin kat Siam secara senyap-senyap dan hanya beritahu keluarga 8 bulan kemudian.


Ujian ni bukan bertujuan untuk menghalang cinta antara orang yang ada HIV dengan yang sihat wal'afiat. Tapi, untuk kita tak rasa macam tertipu kalau ditakdirkan bakal suami atau isteri kita tu tak beritahu yang dia ada HIV. Ia juga untuk mengelakkan kelahiran lebih ramai lagi umat menghidapi penyakit yang tiada ubatnya ni. Tapi, tak bermakna kamu tak boleh kahwin kalau kamu atau pasangan ada HIV, cuma pandai-pandai lah jaga diri.



Perkara asas keenam : Give and take.

Ini yang paling penting. Antara bakal pengantin lelaki dan perempuan, mesti sentiasa memberi sokongan antara satu sama lain. Sokongan ni meliputi dari segi moral, kewangan, fizikal, tenaga dan sebagainya lah.


Buat yang lelaki, jangan bebankan pasangan kamu dengan segala macam urusan perkahwinan. Dia lah yang carik mak andam, dia lah yang buat kad, dia lah yang beli cenderahati, dia lah yang tempah baju. Walaupun kamu dah sokong dalam bentuk kewangan, buah fikiran dan cadangan dari kamu masih diperlukan. Kalau dia pilih fesyen baju, tanya kamu, cantik ke tak, beritahu pendapat kamu. Jangan sekali-kali jawab, "Suka hati you lah. Ok lah kot. Tak tau lah." Yang nak kahwin, kamu berdua. Bukan dia seorang je.


Sokonglah bakal pengantin perempuan kamu dengan sepenuh hati. Sebolehnya, kalau mampu, cuba penuhi kehendak dan impian perkahwinannya. Jangan sekali-kali pandang remeh terhadap segala usaha yang dilakukannya untuk perkahwinan kamu berdua. Hatta, kamu rasa, tuala kecik sebagai cenderahati untuk tetamu tu, kalau takde pun takpe.


Perlu diingat, perempuan ni, sangat particular when it comes to wedding. Semua benda-benda kecik dia nampak, dia nak, sebab dia rasa macam penting. Sebab tu lah, pasangannya seorang lelaki. Yang boleh seimbangkan antara kehendak dan keperluan seorang perempuan.


Lagi satu, jangan terkejut pulak kalau-kalau, dah makin dekat dengan majlis, pasangan kamu asyik marah-marah, tertekan dan bad mood je. Sebab persiapan perkahwinan memang betul-betul menstresskan seorang wanita. Sampaikan kitaran haid pun boleh jadik tak menentu. Sebab orang perempuan ni, semua benda dia nak fikir sendiri. Masa ni lah, sokongan kamu, si pengantin lelaki adalah sangat penting.


Bagi yang perempuan pulak, jangan susahkan bakal suami dengan mintak itu dan ini. Kesian dia, hampir jadi gila sebab nak turutkan impian perkahwinan ala cinderella kamu tu. Berpada-padalah kalau nak meminta pun. Ikut kemampuan dia. Lagi bagus, kalau benda-benda yang kamu boleh buat sendiri, tak perlu upah orang atau beli kat kedai, cubalah usahakan sendiri. Ia lebih bermakna buat pasangan kamu. Dia akan hargai setiap titik peluh kamu untuk jadikan majlis perkahwinan kamu sempurna.


*****


Pokok pangkalnya, belajarlah berkongsi dengan pasangan.


Tak kiralah dari apa segi pun.


Harta-benda, kewangan, perasaan, citarasa, kasih sayang dan sokongan.


Kalau kamu dah sedia berkongsi apa saja dengan orang lain, dah maju selangkah lah tu. Barulah boleh fikir hal-hal lain pasal perkahwinan. Boleh dah nak fikir warna tema apa yang sesuai.


Sebab itu lah asas perkongsian hidup yang akan kita lalui selepas berkahwin nanti. Bukannya baju perkahwinan ala Erra Fazira kamu ataupun warna tema yang kamu sibuk-sibuk fikir tu. Semua perkara dalam bentuk material ni hanya akan digunakan masa majlis perkahwinan satu hari tu je la. Hari-hari seterusnya, asas ilmu rumahtangga inilah yang akan kamu guna sampai bila-bila.



Isu BUMPER Kahwin : Mungkin ada jugak kamu di luar sana nak berkongsi tentang perkara asas perkahwinan yang lain. Silakan. Pendapat kamu amat dialu-alukan.