Thursday, February 26, 2009

Tilam & Bantal : Nak beli apa dulu ni? Katil? Peti sejuk? Set karaoke?

Berita kurang best untuk bakal pengantin semua.

Terlalu sibuk kat dapur siang ikan (Gila semangat. Padahal tinggal nak simpan masuk fridge je.) sampai terlupa nak tengok Wanita Hari Ini dan review pasal slot Tilam & Bantal minggu ni! Maaf, ya. Takpe. Laman web TV3 kan ada. :p

Bagi menebus kekecewaan kamu semua, aku nak kongsi satu lagi tips daripada Encik Shuth si founder Maskahwin.com. Pasal kehidupan selepas berumahtangga lah, kan. Nak cerita pasal persiapan je, takut kamu lupa pulak yang sebenarnya kehidupan selepas kahwin tu lagi penting sebenarnya. Jangan tak tahu, aku dulu mau makan bulan jugak lah nak sesuaikan diri.

Mempersembahkan...

Dulu, selepas saya bertunang dengan bakal isteri saya.
Saya sudah mula membayangkan tempat tinggal (rumah) yang akan kami diami sebagai suami isteri kelak, selepas berkahwin nanti.

Beberapa perkara telah timbul di fikiran saya sewaktu membayangkan tempat tinggal impian saya dengan isteri nanti..
bagaimanakah rupa bentuk rumah yang ingin kami diami nanti?
rumah jenis apakah yang ingin kami diami?
rumah teres? apartment? kondo?
apakah peralatan-perlatan yang perlu ada?
sofa? dapur? set bilik tidur?
perlukah kami membeli rumah atau menyewa sahaja terlebih dahulu?
dan sebagainya.

Memandangkan saya bukanlah dari golongan orang-orang yang "berada", jadi, selepas puas berbincang, berhujah, bergaduh dan bertukar-tukar fikiran dengan bakal isteri saya, kami pun akhirnya telah bersetuju untuk menyewa rumah apartment sahaja selepas berkahwin nanti di dalam memulakan kehidupan kami sebagai suami isteri.

Jadi, sebulan sebelum saya diijabkabulkan, saya sudah pun mula menyewa sebuah rumah apartment untuk tempat tinggal kami berdua selepas berkahwin nanti.

Selepas saya menyewa rumah apartment tersebut, satu persoalan timbul, memandangkan rumah tersebut mempunyai bilik tidur, ruang tamu, serta ruang dapur dan bajet yang saya ada pula agak terhad, maka satu persoalan yang timbul difikiran saya....

ruang manakah yang perlu dilengkapkan terlebih dahulu?
adakah peralatan-peralatan di ruang dapur?
atau peralatan-peralatan di ruang tamu?
atau set kelengkapan di bilik tidur?

Manakah yang lebih penting di dalam usaha membina rumahtangga yang bahagia?

Lama juga saya memikirkan hal ini.

Memandangkan saya akan berumahtangga dan akan mempunyai isteri, maka, sudah pastinya saya ingin merasakan masakan isteri saya nanti. Bukankah itu yang di idam-idamkan oleh seorang bujang yang akan bergelar suami. Menjamah masakan si isteri. Oh! sudah pastinya enak masakan isteri ku nanti. (saya berangan dalam hati)

Tapi, untuk itu saya perlulah terlebih dahulu menyediakan alat-alat kelengkapan untuk isteri saya memasak. Jadi, set kelengkapan memasak agak penting juga untuk membina rumahtangga yang bahagia.

Tetapi, ruang tamu juga agak penting.
Bayangkan hidup anda tanpa TV dan radio.
Anda pulang ke rumah, melihat isteri anda dan keadaan rumah anda yang sungguh sunyi sepi, seperti berada di kawasan perkuburan. Oh! Tidak. Anda mesti memiliki TV. Bila ada TV, mestilah nak ada tempat letak TV, DVD player, sofa untuk rileks-rileks serta karpet di ruang tamu.

Hmm.. banyak jugak belanjanya tu.

Bagaimana pula dengan set bilik tidur?
Takkan ingin tidur di atas lantai yang beralaskan tikar sahaja?
Oh! Abislah sakit-sakit seluruh badan nanti. Almari untuk letak baju serta meja solek juga penting untuk anda berhias dan mempersiapkan diri untuk pergi ke tempat kerja.

Oh! Satu persoalan yang nampak agak remeh, tapi agak memeningkan kepala juga. Lebih-lebih lagi jika bajet anda untuk rumah baru ini sangat kecil
(sebab banyak bajet dah digunakan untuk belanja kahwin).

Jadi, saya ingin bertanya kepada anda.
Jika anda, ruang manakah yang akan anda lengkapkan terlebih dahulu?
Adakah ruang di bilik tidur?
Ruang tamu?
Ataupun ruang dapur rumah anda?

Saya ingin dengar jawapan dan pendapat anda terlebih dahulu sebelum saya memberikan jawapan saya. Saya tunggu jawapan dari anda.

Rumah Idaman.


Hah? Apa pendapat kamu?

Sila beritahu.

Nak tahu apa pandangan Encik Shuth pasal isu ni?

Tungguuuuuu!!!


IsuBUMPERkahwin : Sebelum kahwin dulu ansur-ansur beli set bilik tidur, mesin basuh, TV dan peti sejuk dulu. Rumah pun sewa apartment je. Jadiklah nak mulakan hidup berdua.

Thursday, February 19, 2009

Tilam & Bantal : Tips goda isteri.

Kamu pernah menonton Wanita Hari Ini?

Sebagai bakal pengantin dan isteri, aku cadangkan kamu semua menontonnya. Terutamanya slot Tilam & Bantal siaran hari Jumaat tu. Banyak sangat tips dan ilmu rumahtangga yang boleh kita pelajari.

Perlu diingat, selesai majlis perkahwinan, bukan bererti dah selesai semuanya. Sebaliknya, itulah permulaan hidup baru. Dah tukar status, pegang tanggungjawab sebagai isteri, menantu dan ada rezeki, insyaallah jadi ibu. Jadi, ilmu rumahtangga ni lah yang lagi penting berbanding persiapan kita bagai nak rak tu.

Slot Tilam & Bantal tadi, tetamu jemputan nya Dato' Dr. Fazilah Kamsah dan pelakon; Zul Yahya serta isterinya. Topik nya pulak, pasal 'Goda Isteri'.

Seronok jugak aku dengar perbincangan mereka. Lagi pulak bila masuk tang panggilan daripada penonton di rumah. Dari situ, baru lah kita dapat tahu ada macam-macam jenis orang rupanya kat dunia ni. Tiap orang, lain masalahnya.

Paling menarik perhatian, seorang penonton mengadu, dia tinggal dengan ibu dari zaman bujang sampai lah sejak dah berkahwin sebab kasihankan ibu yang tinggal sendiri. Dia pulak anak tunggal.

Dia dan suami takde lah punya masalah besar mana, cuma dia dan suami rasa macam terbatas pergerakan dan pergaulan bila tak duduk kat rumah sendiri. Suami isteri ni macam rasa malu bila nak bermesra atau bermanja-manja kat rumah ibunya mahupun di rumah mentua. Segan nak lepak atas riba masa tengok TV, malu nak peluk dan cium pipi suami bila ibunya ada sama.

Pendek kata, masa yang ada untuk bermanja berdua, hanya lah pada waktu malam, di bilik tidur.

Nak dijadikan cerita, si suami pulak jenis yang suka keluar main bola malam-malam. Tinggal lah si isteri duduk bilik seorang diri, kempunan nak dibelai dan dimanja oleh suami. Sampaikan hubungan mereka suami isteri jadi makin dingin dari hari ke hari. Nak adakan hubungan suami isteri pun, seminggu sekali belum tentu lagi.


Sedangkan lidah lagi tergigit, inikan pula suami isteri.


Cadangan Dr. Fazilah ;


Lagi bagus kalau dapat duduk rumah sendiri.
Lebih-lebih lagi, kalau pengantin baru sebab baru nak pupuk kemesraan antara satu sama lain. Kalau ada ahli keluarga terdekat tinggal bersama, mesti lah ada rasa segan dan kekok bila nak bermanja-manja.


Lagi pulak, bila dapat suami yang punya ego tinggi.
Tak suka tunjuk kasih sayang kat isteri depan orang lain.
Tak nak dikata sebagai mat bunga, jiwang, geli-geleman dan sebagainya. Memang kecik lah hati isteri tadi.


Tapi, kata Dr. Fazilah, duduk dengan ibu pun tak jadi masalah.
Lagi besar pahalanya.
Cuma, antara suami isteri, perlu ada komunikasi.
Isteri perlu cakap dengan suami yang dia suka dibelai dan dimanja, tak kiralah kat mana-mana, depan siapa pun. Tapi, takdelah bermanja sampai tahap melebih-lebih, kan.


Sambil menonton Tv, isteri boleh baring atas riba suami.
Kalau ibu tegur, tak manis ke, macam miang je kamu berdua, balas balik, ini sunnah Nabi, ibu. Nabi dulu selalu baring atas riba isteri kalau nak bermanja dengan isterinya.
Kalau dah dikata sunnah Nabi, takkan lah ibu nak tuduh macam-macam lagi, kan?


Semasa tidur malam, pegang tangan antara satu sama lain.
Gugur dosa antara keduanya.
Amalkan jugak tidur berkongsi satu selimut dan tidak memakai apa-apa dibawahnya.
(Dr. Fazilah yang cakap, ye. Bukan aku memandai kata :p)


Kalau bergaduh, jangan memaling muka daripada suami semasa tidur. Hadap jugak.
Tak kiralah muka monyok macam mana sekalipun.
Kalau boleh, tetapkan peraturan, solat berjemaah dan makan bersama-sama, sekurang-kurangnya sekali dalam sehari.
Selain tu, mandi bersama-sama pun boleh dijadikan sebagai rutin untuk eratkan lagi hubungan antara suami isteri.


Isteri perlu sentiasa berhias dan berwangi-wangian untuk suami.
Bukan setakat keluar rumah je baru nak melawa.
Kalau isteri dah pakai lawa-lawa, jangan lah buat tak tau aje,
pujilah dia cantik, dia lawa.
Suami jugak tak terkecuali.
Jangan dok sarung kain pelekat dan baju Pagoda je 24 jam.
Macam mana lah isteri nak tergoda.


Pulang dari kerja, terus peluk dan cium isteri.
Sentuhan itu bagaikan satu terapi.
Nescaya, penat lelah kerja akan hilang serta-merta.
Belajar lebih banyak mendengar daripada bersuara sebab perempuan ni lebih suka kalau suaminya mendengar masalah dia.
Cuba bahagiakan isteri dengan sekali-sekala membantu buat kerja-kerja di dapur, masak untuk isteri, sidai kain baju.
Ingat tarikh-tarikh penting kamu berdua dan belikan hadiah.
Senyum lebar sampai telinga lah dia.


Paling penting, sentiasa ucapkan kata-kata cinta dan rindu macam zaman bercinta dulu setiap hari. Orang perempuan memang suka.
Lebih-lebih lagi kalau dah bertahun-tahun berumahtangga.
Lagi lah dia nak dengar kata-kata yang suami sayang dia,
kalau boleh tiap saat, tiap ketika.
Walaupun dia tak beritahu, tapi dia mahu sebenarnya.


Bukan susah sangat pun nak goda isteri, kata Dr. Fazilah lagi.


Hah, tuuu dia..!

Kemain banyak lagi tips dan ilmu yang aku tak tahu rupanya. Ada sesetengah tips tu, aku memang selalu amalkan bersama-sama suami macam solat jemaah, makan sama-sama dan mandi berdua (ehem).

Tapi, bila tang bergaduh sampai memaling muka masa tidur tu, memang terkena kat batang hidung sendiri laaa. :p


IsuBUMPERkahwin : Jangan goda isteri orang pulak, ye!

Tips untuk Raja Sehari

Ini email yang diterima daripada Encik Shuth dari Maskahwin.com tak lama dulu sebelum bergelar Raja sehari. Sejak beli eBook dia dulu, tak putus-putus dapat email yang mengandungi pelbagai tips berguna dan boleh digunapakai hinggalah lepas berkahwin ni.

Saja nak kongsi dengan kamu semua.


Pada musim cuti sekolah yang akan datang, seorang rakan saya akan menamatkan zaman bujang beliau, maklumlah, musim cuti sekolah.. memang ramai yang akan mengambil kesempatan untuk melangsungkan perkahwinan mereka. Mungkin anda juga salah seorang daripada orang-orang yang akan menempuh hari bahagia tersebut. Tahniah saya ucapkan jika benar begitu.. semoga rumahtangga yang dibina akan kekal bahagia hingga ke akhir hayat.

Petang semalam.. saya bersembang dengan rakan-rakan saya, 4 orang darinya telah berkahwin dan seorang akan melangsungkan perkahwinannya pada bulan hadapan.

Fuh.. memang tak senang duduk la rakan saya yang bujang itu.. macam-macam tips yang di terima dari rakan-rakan saya yang lain yang telahpun berumahtangga. Ada yang suruh pergi berurut la.. ada yang surut hafal doa qunut la.. ada yang suruh simpan janggut panjang2 .. dan yang paling ganas yang pernah saya dengar.. masa hari akad nikah tu, pastikan si pengantin lelaki memakai seluar dalam terbalik. Ha! ha! ha!.. kononnya, ia boleh mengelakkan daripada terkena "buatan orang" semasa majlis akad nikah berlangsung.. kata rakan saya..ha! ha! ha!.. macam-macam...

Oklah.. itu cerita rakan saya, sekarang ini, saya nak berikan anda beberapa tips sewaktu majlis raja sehari anda nanti. Terpulang pada anda sama ada nak ikuti atau tidak.. :)


#1 : Sentiasa memberikan senyuman..

Di hari tersebut, pastikan diri anda sentiasa tersenyum. Jika anda seorang yang kurang memberikan senyuman, maka, anda boleh praktisnya dari sekarang. Senyuman ini penting, selain menunjukkan yang anda amat gembira pada hari tersebut, ia juga akan memberikan impak yang mendalam pada gambar-gambar perkahwinan anda kelak.


#2 : Sediakan Upah yg Secukupnya.

Mungkin ramai yang tidak maklum lagi, selepas akad nikah, anda perlu memberikan sedikit upah kepada tok kadi yang menikahkan anda. Jumlah ini adalah tetap mengikut negeri, namun jika anda tidak tahu berapa kadar bayarannya, sediakan sahaja RM100 - RM150, jika ada bajet lebih, mungkin juga anda boleh berikan sedikit saguhati kepada 2 orang yang menjadi saksi pernikahan anda. Masukkan duit tersebut dalam sampul surat/bekas angpau siap-siap.


#3 : Solat Sunat Sebelum & Selepas Akad

Mengikut trend terkini, majlis pernikahan biasanya akan diadakan di dalam masjid. Jadi, bagi bakal pengantin lelaki,adalah elok anda melakukan solat sunat 2 rakaat sebelum dan selepas akad nikah,semoga rumahtangga yang dibina lebih diberkati dan dirahmati.



#4 : Makan

Sewaktu makan, memang kena control skit. Biasalah.. pengantin, takkan nak makan dengan gelojoh pula kan? Jadi, nak tak nak. anda kena sedikit control gaya anda menikmati juadah pengantin.. dan disebabkan itu, maka, memang tidak banyak yang anda akan dapat makan.. ala kadar sahaja orang kata. Disebabkan itulah, maka, adalah penting untuk anda mendapatkan sarapan di waktu pagi, semasa hari majlis perkahwinan anda. Kemungkinan anda terpaksa untuk menahan lapar sepanjang hari adalah agak tinggi. Jadi, makan dulu siap-siap pada pagi itu. Kalau tidak, mesti muka anda akan masam sahaja nanti sewaktu sedang bersanding di atas pelamin, sedang kelaparan lah katakan.


#5 : Solat jamak

Ermm.. "jamak" yer!.. bukan "jimak".. jauh maksudnya itu. Bagi pengantin yang datang dari jauh, bolehlah anda gunakan kemudahan yang disediakan oleh syariat ini. Dihari perkahwinan anda, sudah pastinya anda adalah watak utama pada hari tersebut dan agak sukar untuk anda melarikan diri sebentar untuk menunaikan solat. Jadi, berniatlah untuk menunaikan solat jamak, jika tidak pasti bagaimana melakukan solat jamak dengan betul serta apa syarat-syarat untuk mengerjakan solat tersebut. Dapatkan segera buku panduan solat tersebut di kedai-kedai buku yang berhampiran.


Itulah antara beberapa tips yang saya mampu kongsikan untuk kali ini. Mungkin tips ini kelihatan agak remeh-temeh, tapi, kadangkala, perkara remeh-temeh inilah yang akan mengganggu kelancaran majlis perkahwinan anda itu. Apa-apa pun, saya doakan agar majlis perkahwinan anda kelak akan berjalan lancar dan meriah.


IsuBUMPERkahwin: Jangan lupa berlatih senyum dan bergaya depan cermin mulai sekarang! Tak nak lah nanti muka monyok dan nampak kaku je dalam album kahwin yang kamu dah bayar sampai ribu-ribu ringgit tu.

Monday, February 16, 2009

Sirih junjung. Kepala adat. / Gubahan hantaran.

Sebut pasal sirih junjung, semua pengantin tahu, ia benda wajib, kena ada dalam senarai barang hantaran pertunangan mahupun perkahwinan. Malahan, dalam susunan keutamaan, sirih junjung akan didahulukan dan dibawa paling hadapan apabila menghampiri rumah pengantin. Tanpa kita sedari, kita orang muda ni, bukan faham pun apa maksud tersirat di sebalik sirih junjung tu.

Ikutkan adat Melayu, sirih junjung tu macam simbolik kepada adat resam dan asam garam alam rumahtangga itu sendiri. Kalau tengok sirih junjung zaman mak-mak kita dulu, lengkap ada gambir, buah pinang dan kapur segala. Hasil campuran bahan-bahan tadi, bila dimakan bersama-sama, akan ada rasa pahit, masin, masam dan manis. Macam tu lah jugak gambaran tentang alam rumah tangga.


Sirih junjung daripada pihak lelaki masa tunang.
Klasik dan evergreen.


Sirih junjung daripada pihak lelaki masa kahwin.
Kontemporari moden dan romantik.


Nah, begitu halus adat resam kita.

Setiap perkara, ada relevan dan maksud tersirat tersendiri. Kita generasi muda ni, tak salah nak teruskan adat macam ni asalkan ia tak menyimpang jauh dari agama.

Tujuan utama aku kupas isu ni, bukan lah nak pertikai perlu atau tidak sirih junjung dalam perkahwinan, tapi lebih berminat nak bincang tentang cara nak menggubahya. Sebab aku percaya, bagi kebanyakan pengantin di luar sana, yang banyak habiskan masa dan tenaga buat persiapan perkahwinan sendiri, bertungkus lumus perah idea buat gubahan sendiri, mesti tiba-tiba akan sangkut bila masuk bab nak gubah sirih junjung.

Iye lah. Sirih junjung ni, bila masuk zaman kita, dah macam setakat buat syarat. Asalkan ada je. Sebab Mak Abah kata kena ada, maka nak tak nak, kenalah buat juga. Biasanya juga, jarang pengantin zaman sekarang yang berani nak gubah sirih junjung atas tiket alasan biasa ; takut tak kena pada mata orang-orang tua kita atau memang tak reti langsung nak buat gubahan.

Ini lah masalah utama aku masa nak bertunang dan kahwin dulu. Takde orang nak tolong buatkan sirih junjung. Mak kata, dia tak reti. Makcik-makcik pulak, semua takde masa, takpun mereka kata takut lari daripada konsep gubahan hantaran aku yang lain-lain.

Maka, masa aku banyak dihabiskan buat research pasal gubahan sirih junjung je.

Dan, lagi perit, aku ni jenis perempuan yang tak reti nak gubah bunga. Asal jumpa je gubahan sirih junjung yang berkenan di hati, mesti yang stok-stok menuntut kemahiran menggubah bunga yang tinggi.

Aku pun kecewa.

Dengan adanya isu bumper kahwin ni, aku nak berkongsi idea gubahan sirih junjung hasil daya imaginasi aku sendiri. Juga hasil rujukan dengan encik Google suatu masa dulu.

Jangan risau, ia tak memerlukan kamu menjadi seorang pakar gubah bunga untuk buat semua ni. Apa yang diperlukan hanyalah mulut yang manis sebab nak mintak daun sirih dan bunga-bungaan kat jiran India sebelah rumah yang ada banyak tanam bunga buat sembahyang dia. Di samping kemahiran melipat, menyusun, menggunting, menge-gam, menyuaipadankan warna dan kesabaran serta ketekunan yang jitu dan tidak kenal erti putus asa.

Yang paling penting, ia dapat menyelamatkan puluh-puluh ringgit kamu daripada mengupah mana-mana pakar untuk membuat sirih junjung yang hanya bertahan selama beberapa jam tu. Nak-nak pulak perkahwinan bajet ciput macam aku dulu, dapat jimat puluh-puluh ringgit pun dah dikira macam dapat menambahkan lagi dalam 7-8 pinggan nasik beryani untuk tetamu yang hadir.

Inilah koleksi sirih junjung hentam keromo aku.


Rujukan masa nak buat sirih junjung untuk hari pertunangan.
Nak buat yang ala sweet je, gitu.

Hasilnya,
.
.
.


Tak sama langsung, kan? :p

Aku tak reti nak gubah bunga ros jadik bulat macam gambar kat atas tu. Sudahnya, jadik bentuk gini pulak. Siap dalam masa beberapa jam sebelum majlis ni lepas tunggang-langgang semua. Indah khabar dari rupa. Warna bunga ros nya je yang sama.

Jadik lah kan daripada takde.


Ni pulak, rujukan sirih junjung untuk majlis perkahwinan.

Macam serasi la dengan konsep gubahan Garden of red roses yang lain. Nak-nak pulak nampak macam simple dan senang je nak buat.


Rujukan satu lagi.

Sebab yang tadi nampak macam simple sangat.
Konon nak tambah bunga kecik-kecik putih tu laa.

Hasilnya,
.
.
.


Pun tak sama langsung, kan? :p

Susah-susah, aku beli je bakul kecik, susun ros merah dalam tu dan daun sirih kat keliling dia, letak bunga putih kecik-kecik dan ikat riben. Siap!


Tu lah orang kata, kalau dah terdesak, imaginasi kita lagi berkesan berbanding visual yang ada kat depan mata. Berjam-jam aku dok menghadap gambar sirih junjung tu semua, sudahnya yang jadik adalah hasil daripada imaginasi sendiri je.

Tapi, bagus jugak kan. Boleh lah aku claim gubahan sirih junjung tu sebagai hasil tangan dan idea sendiri. Bukan ciplak hasil orang lain. Gambar-gambar tu semua setakat buat rujukan untuk suntik idea je.

Paling bagus, aku boleh lah kongsi dengan bakal-bakal pengantin di sini.

Selamat membuat sirih junjung sendiri!

Anda mampu mengubahnya.

err.. meng-gubah-nya. :p

Tuesday, February 10, 2009

Mak andam VS. Pak andam.

Tempoh hari, ada kawan telefon, mintak contact number make-up artist aku masa kahwin dulu. Dengan pesanan "ko sebut je nama aku, nanti dia bagi diskaun", aku pun bagi nombor telefon siap dengan lokasi butik andaman tu sekali.

Tiba-tiba, kawan tadi tu telefon semula dan tanya,


"Err.. andam ko ni, lelaki ye?"


"Yup. Tapi ada je yang perempuan in case ade orang yang sensitif dengan pak andam ni. "


"Tu lah. Ayah aku sensitif sikit. Kalau pelamin semua, pak andam tu yang pasang lah kan?"


"Yup. Dah dia towkey nye."


"Ala. Tuh yang susah tu. Nanti ayah aku bising. Thanks anyway!."


Situasi macam kat atas ni dah biasa kita dengar. Lebih-lebih lagi dalam kalangan bakal raja sehari lah, kan. Dilema nak pilih antara mak andam atau pak andam.

Iye lah. Kita ni, rambut je sama hitam, tapi hati lain-lain.

Ada orang yang tak kisah pun jari-jemari kasar pak andam make up muka dia masa hari bersejarah tu nanti. Lagi halus, cermat dan natural solekannya, kata mereka. Takde lah macam opera cina.

Ada pulak yang kata, tak nak lah batal air sembahyang dek lelaki yang bukan muhrim. Lebih-lebih lagi, kalau selama ni, kita berusaha jaga aurat, jaga batas pergaulan antara yang muhrim dan bukan muhrim, mestilah kalau boleh, air sembahyang ni, nak dibatalkan oleh suami sendiri. Bukan oleh lelaki yang bergelar pak andam.

Sekalipun ada pak andam yang menawarkan solekan dengan tangan berlapik, hakikat muhrim dan batasan aurat tu, masih tak dapat kita nak nafikan.

Berbalik ke zaman mak-mak kita dulu, mak andam ni bukan calang-calang orang yang boleh jadi. Selain punya banyak ilmu, pengalaman atau petua tersendiri yang boleh naikkan seri wajah pengantin, mak andam zaman dulu jugak boleh tentukan sama ada pengantin perempuan tu masih punya dara atau tak.

Tapi, senario hari ni menunjukkan, industri perkahwinan dah diceburi jugak oleh kaum lelaki. Malahan, tak keterlaluan kalau aku kata, yang lelaki macam dah mendominasi industri yang dulunya dimonopoli oleh makcik-makcik andam ni. Pak andam sekarang muncul dengan pelbagai modal teknologi dan teknik make up terkini macam shading bagai tuh untuk naikkan seri pengantin.

Sebut je lah nama-nama besar butik andaman pengantin popular kat Malaysia ni. Berderet-deret haaa nama lelaki! Sentuhan solekan mahupun fesyen baju pengantin mereka memang mudah mencuit tangkai hati pengantin perempuan terutamanya.

Tuhan pun dah kata, pasangan perempuan adalah lelaki, untuk saling melengkapi, sebab tu lah, kadang-kadang pandangan mata lelaki ni, menepati citarasa sang wanita.

Kadang-kadang lah. Bukan selalu.

Begitu jugak yang perempuan. Masih ramai lagi yang hebat macam sentuhan Kirana contohnya. Kalau tang make up pengantin pulak, tak banyak nama yang aku tau. Cuma beberapa nama yang semakin naik macam Gorgeously Done, Nurin Makeover, Saidatulnisa dan Candid Syndicate ni. Mungkin kamu boleh tolong senaraikan nama-nama yang lain lagi.

Mak andam zaman sekarang pun dah tak macam dulu lagi bila sebut tang bedak putih melepak dan gincu merah menyala. Dah ramai mak andam yang mahir untuk aplikasikan teknik solekan yang betul dan sesuai serta setanding dengan pak andam. Malahan, ada yang lebih hebat lagi!

Pucuk pangkalnya, bagi aku yang dah pernah merasa hasil tangan mak andam dan pak andam ni, dua-dua punya kelebihan dan kekurangan masing-masing. Apa yang penting, solekan tu menepati citarasa kita dan tidak keterlaluan.

Jangan sampai kita di salah sangka sebagai Ziana Zain pulak masa hari persandingan dek kerana make up yang terlebih meletop.

Kalau boleh, pergi ziarah dulu mak andam atau pak andam pilihan kita. Tengok dulu hasil-hasil solekan dia sebelum ni. Lagi bagus, sebelum hari persandingan, cuba lah buat make up testing. Apa yang bagusnya pasal make up testing ni, mak andam atau pak andam tu dapat kenal-kenal dan serasi dengan struktur kulit serta wajah kita. Tahu lah dia tang mana nak di highlight, tang mana pulak yang nak disembunyikkan. Jangan lupa jugak beritahu siap-siap apa yang kamu suka dan tak suka pasal solekan dia.

Jangan dah terhantuk baru nak tergadah.

Menyesal nanti tak sudah-sudah.


IsuBUMPERkahwin : Yang mana menepati citarasa dan budget, yang itulah menjadi pilihan.

Monday, February 2, 2009

Emas. Harta wanita. / Cincin kahwin.

Terasa sangat sendu. Tiba-tiba aku rindu dia sangat-sangat.

Tak tahu kenapa. Rindu suara dia, ketawa dia, senyum dia, wajah dia. Semuanya.

Itu aku, anak saudara dia. Bayangkan rindu isteri dan anak-anak dia. Tak tertanggung rasanya.

Seperti yang aku kata, ini adalah blog ternakan aku di kala sendu. Maka, dengan air mata yang mencurah-curah di pipi, aku mulakan entri ini.

Mudah-mudahan reda lah hujan lebat di mata ni nanti.

**********

Tadi bloghopping kat blog bakal pengantin semua. Semua tengah rancak buat persiapan nampaknya. Sampai stress dibuatnya.

Bertabahlah wahai pengantin semua.

Itulah orang kata, ingat senang ke nak bergelar raja sehari kalau kita ni sah-sah bukan dari keturunan kerabat diraja. Tapi, aku sangat berbangga dan kagum dengan pengantin yang uruskan segala persiapan perkahwinan sendiri. Semua benda, kalau boleh, nak buat sendiri.

Itulah yang sepatutnya pun. Majlis untuk diri sendiri pun. Apa salahnya put some effort. Biarlah buruk pun, tak cantik orang kata. Yang penting, semua tu atas usaha titik peluh sendiri.

Very high sentimental value gitu.

Orang yang tak buat sendiri, main upah je sana-sini, takkan dapat rasa perasaan semua tu. Dan takkan hargai setiap benda dan perkara yang terlibat dalam persiapan perkahwinan dia sama macam orang yang D.I.Y segala benda dari awal hingga akhir.

Balik kat tajuk kita. Pasal emas.

Lama dah orang request, mintak aku usulkan kedai barang kemas yang sesuai untuk di ushar. Baru ni lah aku berkesempatan nak tulis.

Lagipun, aku bukannya wedding planner profesional.

Bukan jugak anak towkey kedai emas.

Aku cuma kongsi pengalaman uruskan persiapan perkahwinan sendiri sikit masa dulu.

Ya. Betul lah. Memang stress.

Bila sebut pasal emas. Memang tak boleh nak dipisahkan dengan wanita. Sedar atau tak, itulah harta yang kita ada. Dari segi material lah.

Cincin pertunangan dari uncle Poh Kong.


Sebab norma kehidupan biasa menunjukkan, sebaik mendirikan perkahwinan, rumah; suami beli, tanah; suami punya nama. Isteri? Nan ado. Menumpang je.

Kereta? Oh. Itu bukan jatuh dalam aset. Tak macam rumah dan tanah, lagi lama, lagi berharga. Kamu mana tahu, tapak asal rumah nenek moyang kamu duduk dulu sekarang ni dah berdiri sebijik bangunan KLCC. Nilai hartanah sentiasa naik. Ikut peredaran zaman dan lokasi lah.

Sama jugak macam barang-barang antik. Makin berkarat, makin tinggi nilai estetika dan Ringgit Malaysia nya.

Sebab tu aku kata, emas harta wanita. Orang laki haram pakai emas.

Maka dengan itu, masa nak pilih barang kemas; tak kisah la cincin ke, rantai ke, gelang ke dan sebagainya, untuk dijadikan sebagai hantaran perkahwinan atau dijadikan sebagai mas kahwin, pilih yang nilai nya tidak akan jatuh secara mendadak bila nak gadai.

Bukan apa. Itu je lah harta yang kita ada. Kalau ada apa-apa kejadian atau kecemasan, terpaksa jugak buat apa saja untuk dapatkan duit, kurang-kurang boleh jugak tolak kat pajak gadai. Paling tidak pun, boleh dijadikkan cagaran.

Mesti ada yang kata dalam hati, "Takkan lah nak gadai cincin kahwin kot."

Ingat. Jangan main-main dengan perkara yang kita tak boleh jangka ni. Kalau dah terdesak sangat, semua benda boleh jadi.

Cincin kahwin dari pakcik Habib.


Mak aku kata, emas 916 sekarang berharga RM 105 bagi setiap satu gram. Emas lain-lain, dia tak update, sebab tak minat. Kata mak lagi, dia lagi prefer emas 916 sebab ia mempunyai kandungan lebih 90% emas. Kalau emas Kelantan lagi pulak. Kira ikut ringgit. Aku tak menahu camana caranya. Mungkin ada orang-orang sana yang boleh tolong explain kot.

Tengok sini, nak tahu lebih lanjut pasal jenis-jenis emas.

Ada jugak tanya, nak beli emas kuning ke putih, ye?

Kalau ikut orang-orang tua, sah-sah la diorang akan melenting tengok kamu beli emas putih. Takde second-hand value katanya. Lagi besar gelang bakal suami kamu beli, maka lagi lebar lah senyum mak kamu dan kata dalam hati, "Beruntung anak aku dapat laki banyak duit. Lepas ni boleh mintak rantai bobot pulak."

Aku gelar rantai bobot mak aku 'rantai hiphop'.


Lagi satu, mak-mak kita pun tak berapa berkenan dengan berlian. Pun alasan sama. Takde second-hand value. Dia tak heran pun kalau kamu dapat cincin kahwin emas putih bertatah berlian berkarat-karat dan besar bak mata ikan paus macam cincin kahwin Datuk Siti tu. Dia akan kata, "Eleh, zircon je tu. Takpun Zhulian."

Kita pulak akan kata, up-to-date lah. Trend, babe.

Kena lah beli emas putih. Emas kuning ni masa zaman mak-mak dulu, boleh lah. Kalau boleh, yang lagi halus, lagi cantik. Tak nak lah gelang besar serupa gari tangan macam yang cerita Mami Jarum pakai tu.

Kalau gadai ni, mau boleh buat down payment Honda City sebijik.


Ni hah pulak, cerita pasal emas putih.

Sila baca sendiri, ye.

Lepas tu, buat lah pilihan sendiri. Nak yang kuning ke, yang putih. Nak batu zircon ke, mutiara, berlian atau plain saja. Lain orang, lain citarasa.

Kalau dah mengidam sangat nak pakai emas putih, jangan mengada-ngan pulak nak fikir, "Cincin kahwin ni nak pakai sampai tua, kalau boleh sampai hujung nyawa, dah tua nanti, takkan nak pakai emas putih, nak pakai gelang dan rantai yang halus-halus."

Terus tak jadik beli emas putih.

Paksa jugak diri beli gelang besar gajah, konon-konon demi masa depan la. Bahananya, gelang dan rantai bobot tu duduk dalam laci je nanti, sebab malu nak pakai. Takut kena kutuk dengan kawan-kawan sebab old-fashioned.

Dah kalau masa tengah muda ni, kamu tak pakai apa yang diidamkan semata-mata fikir ia tak sesuai lagi untuk masa tua nanti. Rugi betul. Tengah muda remaja ni lah nak pakai. Dah tua nanti, dah segan pulak. Masa tua, itu lain cerita.

Mintak lah rantai bobot dan gelang gajah tu kat suami kamu bila dah sampai usia nya nanti, ye.

Untuk lelaki pulak. Trend sekarang, tunang pun lelaki nak sarung cincin. Kahwin pun nak jugakkkk. Pada aku, masa tunang, tak payah lah. Kita back to basic. Bagi cincin tanda dan tunang kat perempuan je. Masa kahwin nanti, boleh lah kalau nak bagi suami cincin kahwin sebagai tanda kenang-kenangan.

Percayalah. Lelaki ni bukan cermat macam orang perempuan bila masuk bab menjaga barang-barang kemas ni.

Jadi, tak payah la susah-payah nak belikan yang mahal-mahal. Cukup syarat sudah. Sudahnya nanti, dia tinggal je cincin suasa ke platinum segala tu dalam bekas cincin. Mujur dia tak tinggal atas sinki dalam tandas. Sakit je hati tengok nya. :p

Lagi satu, jangan tanya aku, lelaki boleh pakai suasa ke tak? Silver ke. Aku tak cukup ilmu lagi nak hujah pasal tu. Apa yang aku tau, asal nama pangkal dah emas, tak kira lah kuning ke putih, tetap HARAM untuk lelaki. Mungkin ada yang pakar, boleh lah tolong jelaskan nanti.

Untuk pilihan kedai-kedai barang kemas yang ada, jangan harap aku nak masukkan Tiffany & co. mahupun Chopard atau Cartier atau The Hearts on Fire atau The Carat Club kat dalam senarai. Sebab aku tak pernah terlintas pun nak beli cincin kahwin kat sini. Seram nak masuk.

Ye lah. Kita ukur baju kat badan sendiri, kan.

Pilihan standard, Habib Jewels lah kan.

Harga emas semua sama pun kat mana-mana kedai. Beza dari segi harga upah, design dan jenama.

Secara jujur, aku lagi suka kat Poh Kong. Banyak pilihan. Nak yang satu mata, dua mata, mata berderet-deret macam cincin kahwin aku pun ada. Merata tempat pun ada Poh Kong ni. Harga pun lebih berpatutuan kalau nak dibanding kan dari segi saiz berlian yang lagi besar berbanding kat Habib.

Kalau Habib, mau nak kena pergi yang kat Ampang, baru banyak sikit pilihan dia. Itu pun tunggu masa sale gila-gila punya. Lepas tu limited pulak. Nak kena berebut-rebut dengan orang lain. Lagi malang, kalau kita tak sedar, cincin tu nanti, sama pulak dengan cincin kahwin saudara-mara terdekat. Tensen.

Tapi, kalau dah dari awal memang dah niat, nak jugak ade sebijik bekas cincin dari Habib, apa salahnya. Bukan selalu pun kan. Nak-nak pulak jenis yang budget ketat macam aku. Rembat je lah mana yang ada masa sale tu. Nak beli berlian masa takde sale, gigit jari je lah.

Pilihan lain?

Wah Chan
Tomei
DeGem
Selberan
Diamond & Platinum
KM Oli Mohamed
Lazo Diamond

Kedai-kedai emas yang berhampiran rumah kamu.

(Baca : Yang terakhir ni pilihan terbaik. Sebab boleh buat custom-made dan boleh tawar-menawar dari segi harga upah. Kalau kedai glemer-glemer ni, jangan harap la. Harga jenama dia je, mau makan ratus dah.)


Ada satu lagi cadangan.

Kalau awal-awal dah berangan nak engrave nama atau love message atau nama atau tarikh kahwin atau apa-apalah kat cincin kahwin nanti, silalah buat siap-siap masa tempah tu. Jangan buat alasan, nanti-nanti lah. Lepas kahwin pun boleh buat apa. Sudahnya, tak jugak buat macam aku ni.

Engraved rings. (Credit : Limoges Jewelry)


Kalau beli kat Poh Kong, nak engrave, dia bagi FREE. Kalau kat Habib, dia charge. Ni ikut pengalaman aku dulu aa. Kalau kat tempat lain, aku tak tahu macam mana.

Seperti biasa, tepuk dada, tengok poket dulu!


IsuBUMPERkahwin : Hujan dah reda.