Tuesday, January 6, 2009

Jangan ingat pengantin je nak hadiah, tetamu pun nak jugak / Cenderahati perkahwinan / Wedding favors

Atas permintaan Aziyana, dan berdasarkan pengalaman serta pandangan peribadi sendiri, aku dengan rendah dirinya, mencuba sehabis baik untuk cadangkan beberapa senarai cenderahati perkahwinan yang dirasakan sesuai untuk tetamu.Kalau ikut konsep perkahwinan sebenar, cenderahati perkahwinan untuk tetamu ni, kalau takde pun takpe. Ia sekadar tanda kenangan ataupun tanda ucapan terima kasih kepada tetamu kerana sudi meluangkan sedikit masa untuk hadir dan memeriahkan majlis perkahwinan kita.

Masalahnya, orang kita ni termasuklah aku sekali, kadang-kadang lupa niat asal tujuan pemberian cenderahati perkahwinan ni. Nak bagi yang murah-murah, risau dikata orang, nak bagi yang mahal-mahal, tak cukup budget pulak. Nak bagi kat semua tetamu ke yang istimewa saja? Nak bagi sama ke, lain-lain? Nak sediakan berapa banyak pulak? Itu semua berlegar-legar kat fikiran sang pengantin, terutamanya yang perempuan la, kan.


TIPS : Pilih sesuatu yang praktikal, yang boleh digunakan oleh tetamu. Bukan sekadar untuk hiasan. Yang boleh dimakan lagi bagus. Kalau boleh, bagi cenderahati yang sama je untuk semua. Tapi, kalau tak cukup budget, had kan beberapa jumlah tertentu je
untuk cenderahati VIP.


Mungkin jugak senarai ni lebih kurang sama dengan apa yang dah disenaraikan kat Misi 5 April. Nampaknya, kami punya pendapat yang sama tentang cenderahati perkahwinan berbentuk barang hiasan macam potpouri tu tak berapa praktikal.


1) Telur.


Tipikal dan konvensional. Tapi tetap menjadi pilihan sepanjang zaman. Lagipun kalau ikut kata orang tua, ia melambangkan kesuburan. Kiranya macam simbolik terhadap antara tujuan perkahwinan iaitu untuk mendapatkan zuriat. Tak kisahlah telur rebus biasa ke, telur pindang ke ataupun telur masin. Paling tidak pun, telur biasa tu nanti boleh jugak tetamu kita buat scramble egg untuk sarapan, kan?


2) Kerepek / biskut / gula-gula / kuih / jelly / coklat / cupcakes

Cenderahati perkahwinan berbentuk makanan memang sentiasa mendapat tempat. Kalau boleh cuba tonjolkan identiti negeri kelahiran atau tempat tinggal kita. Contohnya, kat pantai timur, boleh bagi keropok ikan. Kat Johor ke, boleh bagi perencah mi bandung atau serbuk kopi 434. Ikut la apa yang kamu suka. Asalkan ia mudah dibungkus dan tahan lama.

Kalau nak bagi cupcake pulak, pilih jenis royal icing atau fondant. Banyak dah pilihan web jual cupcake ni kan. Aku dulu pun ada jugak bagi cupcake. Beli dari Totcupcakes.com yang dah makin glamour sekarang ni. Siap masuk Nona lagi. Mesti harga dia pun dah naik kot. Nasib baik aku dah kahwin. :p


Royal Icing cupcakes dari Totcupcakes.com.


Nak sesuatu yang lain daripada yang lain? Boleh jugak bagi coklat buatan sendiri macam kat Little Roses ni. Tak pun, cuba tengok kat MarryMe deco ni pun ok jugak. Banyak idea edible gifts yang kadang-kadang tak terfikir pun oleh kita.


3) Tissue cover.

Ada yang murah boleh dapat kat kedai 5 ringgit, boleh dapat dalam harga RM1-RM2.50 ringgit satu (harga borong la). Jenis kain macam lace China ataupun yang dibuat daripada bilah buluh tu. Aku dulu beli yang nampak macam eksklusif sikit kat Totcupcakes.com dengan harga RM4 setiap satu untuk cenderahati VIP. Lepas kahwin, melawat rumah saudara-mara, rasa kembang je hati bila masing-masing guna tisssue cover tu kat ruang tamu rumah masing-masing. Macam terharu, gitu. Takde la orang terus masuk bakul sampah macam potpouri yang biasa kita dapat tu, kan.


Exclusive tissue cover dari Totcupcakes.com.


4) Sabun.

Macam kata Misi 5 April, daripada bagi sabun hiasan yang gantung-gantung tu, lebih baik bagi sabun mandi betul. Aku pernah dapat satu kat rumah pengantin anak towkey chalet. Dia bagi sabun kecik-kecik yang macam yang selalu kita dapat kat hotel tu, ikat dengan reben kecik. Sangat simple dan praktikal.


5) Air mineral.

Yang dalam botol kecik takpun dalam cawan tu. Kalau ada budget lebih, boleh tempah label khas kat botol mineral tu. Tapi, nanti orang buang jugak botol tu. Takpun diorang pergi hantar kitar semula.

Air mineral dengan label nama sendiri.
(Credit : MyChocolateMousse)


6) Magnet peti sejuk / fridge magnet.

Pernah dapat masa sepupu aku kahwin dulu. Sangat comel. Ada gambar kartun comel dan nama pengantin. (Ingat! Jangan letak muka kamu. Nanti orang tak nak letak kat peti sejuk diorang.) Tapi, dia tempah kat Indonesia. Murah kot kat sana. Kat Malaysia pun ada jugak. Macam kat Bliss Treassurers dan Just Married ni.

Fridge magnet yang simple dan sweet.
Siap boleh letak nama pengantin dan tarikh kahwin lagi.
(Kredit : Bliss Treasurers)


Satu lagi idea, kalau nak jugak letak gambar kamu berdua, lebih baik kartunkan dulu. Nampak lagi fun dan orang akan rasa ok lah kalau nak letak kat peti sejuk dia. Mana nak kartunkan muka? Kalau tak reti nak lukis sendiri, boleh pergi CariAmbo.com takpun kat laman web kartunis UBi yang terkenal tu.

Kartun pengantin. (Kredit : UBi )


7) Surah Yassin

Pernah jugak dapat masa majlis malam berinai pengantin. Beli banyak-banyak, boleh dapat murah. Boleh jugak nak tampal label TERIMA KASIH kat dalam. Pilihan lain, boleh jugak bagi kitab Al-Ma'thuurat. Yang boleh diamalkan sebagai zikir walaupun sedang datang bulan. Selagi orang guna, selagi tu lah kita dapat pahala. Kan lebih afdhal tu.


8) Personalised items.

Yang ni sesuai la untuk cenderahati VIP. Takpun untuk pengantin yang punya budget ramai. Antara barang yang boleh personalised macam mug, tissue box, cutlery set, coklat, magnet peti sejuk, glass coaster, bookmark dan macam-macam lagi lah. Tapi, prinsip nya tetap sama, elakkan letak muka kamu lah ye. Takde siape nak simpan barang yang ada muka kamu. Tulisan terima kasih berserta nama kamu saja dah memadai. Antara senarai web yang boleh dikunjungi untuk perkhidmatan macam ni :



Contoh personalised items.


Bagi tema perkahwinan bajet, macam aku dulu, yang nak jugak bagi cenderahati perkahwinan eksklusif untuk tetamu VIP, cuba ikut TIPS ni :

1) Senaraikan tetamu VIP. Utamakan keluarga dulu (dua belah pihak) barulah kawan-kawan dan sebagainya.

2) Hadkan bilangan tetamu VIP tadi kepada jumlah tertentu sahaja. Misalnya 200. Jangan lebih, jangan kurang. Ikut la kemampuan masing-masing.

3) Kalau satu keluarga ada 5-6 orang, ambil kira satu keluarga, dapat satu je cenderahati VIP. Kalau antara 5-6 orang dalam satu keluarga tadi ada yang dah kahwin, perlu dikira sebagai satu keluarga yang lain. Dia berhak dapat cenderahati VIP sendiri sebab dah ada keluarga sendiri.

4) Siap-siap kumpulkan semua cenderahati VIP tu ikut senarai yang dah dibuat tadi. Lagi senang, buat macam aku dulu, satu plastik besar, khas untuk keluarga belah lelaki. Satu lagi plastik besar, untuk keluarga sendiri. Begitu juga untuk kawan-kawan. Labelkan siap-siap. Tulis lah pakai marker besar-besar kat luar plastik tu. Lepas tu, amanahkan kat seseorang yang boleh diharap dan dipercayai untuk agih-agihkan cederahati VIP ni ikut senarai tadi serta label yang yang ditetapkan.

(PERHATIAN : Penting ni. Sekarang ni memang nampak macam remeh. Rasa macam kita oleh uruskan sendiri. Sebab masa hari kejadian, kita sibuk kahwin, tak sempat pun nak tengok pasal benda-benda ni semua. Ada pulak nanti kawan-kawan yang datang dari jauh, balik rumah dengan tangan kosong kalau takde orang yang nak mengelola hal-hal pengagihan cenderahati. Ada jugak nanti, orang-orang lain, terutamanya makcik-makcik yang tak tau apa-apa, pandai-pandai je nak agihkan cenderahati VIP kita tu ikut suka hati dia. Kisah benar ni tau. Bukan main cakap-cakap je.)

5) Ikuti semua tips di atas. Dah nama pun kahwin bajet kan, cenderahati VIP tu pun terhad, tak nak lah nanti ada orang yang kecik hati tak dapat.

Cenderahati VIP aku dulu.
Coklat Ferrero Rocher dalam mangkuk kristal.
(Beli kristal palsu je. Nak bagi yang ori, tak cukup budget lah pulak.)


*****

Diharap kalau tak banyak pun, dapat la tips ni membantu dan bagi idea sikit kat bakal pengantin di luar sana. Apa-apa pun, ikut budget masa membeli dan pastikan ianya praktikal. Tak nak lah nanti kita berhabis duit banyak-banyak, akhirnya cenderahati perkahwinan yang kita beli ataupun buat bagai nak rak tu duduk dalam stor je takpun habis masuk bakul sampah.

Kalau ada idea lain yang lagi bagus dan kreatif, silakan. Seperti biasa, kamu amat dialu-alukan.

Monday, January 5, 2009

Macam mana nak tau kita dah bersedia ke belum?

Bila sebut pasal kahwin, kepala kita ni mesti ligat berfikir pasal tema perkahwinan; nak ala moden ke, tradisional ke, english white ke, jawa ke atau macam-macam lagi lah tema pilihan yang ada.


Paling tidak pun, mesti dah sibuk fikir pasal fesyen baju pengantin yang nak dipakai nanti. Cenderahati untuk tetamu lagi. Pendek kata, macam-macam hal lah yang perlu difikir pasal kahwin ni.


Dah nama pun raja sehari, kan. Mesti la kita nak hari tu jadi yang paling bermakna dan bersejarah buat kita. Paling tidak pun, yang memuaskan hati sendiri dan takkan rasa menyesal bila dah sudah nanti.


Takkan nak kahwin lagi sekali, kan?


Dalam pada kita sibuk fikir hal-hal macam yang kat atas tadi, orang kita selalu terlepas pandang pada hal-hal yang utama. Perkara asas dalam perkahwinan. Yang kadang-kadang, kita macam buat tak peduli je. Bila dah nak dekat hari majlis nya, baru lah nak terkedek-kedek nak siapkan diri dengan perkara-perkara asas ni.



Perkara asas pertama : Persiapan dan persediaan diri.

Kalau tanya diri sendiri, memang sampai bila-bila pun kita masih belum bersedia nak bergelar suami-isteri. Ada saja alasan nak diberi. Tak cukup duit lah. Tak cukup umur lagi. Belum puas enjoy. Baru nak kenal. Tak sedia nak pikul tanggungjawab. Dan macam-macam lagi.


Sebab berkahwin ni bukannya macam main pondok-pondok masa kecik-kecik dulu. Main kipas pengantin pakai daun, duduk atas kerusi kecik, buat bunyik kompang sendirik, pastu terus dapat anak kalau tido dekat-dekat.


Banyak tanggungjawab yang dah tunggu sebaik saja lafaz, "Aku terima nikah si polan bt si polan dengan mas kahwinnya sekian ringgit tunai...." dan diikuti dengan "Sah."


Bagi lelaki, dosa pahala isteri, dah berpindah ke bahu dia pulak. Dah jadi tanggungan seumur hidup. Nak-nak pulak kalau dia tu anak sulung. Kebajikan keluarga sendiri dan sebelah mertua pun jatuh kat bahu dia. Berat tuh.


Kena siapkan diri sejak dari sebelum berkahwin lagi dari segi mental dan fizikal. Kena faham yang isteri tu bukan milik dia seorang. Kena jugak faham yang dia tak boleh melebihkan isteri berbanding ibu sendiri sebab syurga dia masih terletak di bawah telapak kaki ibu. Paling penting, kena seimbangkan antara keluarga sendiri dan sebelah mertua. Tak boleh berat sebelah.


Bagi perempuan pulak, syurga dia dah berpindah ke telapak kaki suami. Perlu taat dan patuh terhadap suami. Cuba melayan suami dengan sebaik mungkin. Jaga maruah diri untuk suami. Perlu faham yang kini setiap keputusan perlu dibincangkan dulu. Tak boleh buat sesuka hati macam dulu. Perlu jugak faham dah punya dua keluarga yang perlu dilayan sama rata.


Jangan ingat benda-benda ni semudah yang disangka. Kalau kita tak betul-betul bersedia, alamatnya boleh jadik huru-hara.


Dinasihatkan agar masa dalam tempoh bertunang tu, pergilah ziarah keluarga bakal mertua. Kenal-kenal dulu adik-beradiknya. Faham dulu ibu dan bapanya. Cuba belajar sikit-sikit adat resam di tempatnya. Takde lah nanti macam terkena kejutan budaya.



Perkara asas kedua : Fizikal.

Selain mempersiapkan diri dari segi mental untuk memikul tanggungjawab dan sebagainya, dari segi fizikal pun penting jugak. Tapi itu bukan bermakna, yang berkulit gelap, siang malam bantai guna krim pencerah muka semata-mata nak nampak cerah masa di hari persandingan. Silap hari bulan, tersalah guna produk, bukan makin cerah, berbelang-belang pulak jadik nya.


Apa yang perlu dilakukan hanyalah menjadikan diri kita yang seadanya itu berada dalam keadaan terbaik pada hari bersejarah nanti. Jaga kesihatan sebaiknya. Jangan macam aku. Boleh pulak kena chiikugunya masa dekat-dekat nak kahwin ari tu. Habis masa bersanding, sakit sendi-sendi semua.


Jaga jugak pemakanan. Tak nak lah nanti ada bahagian-bahagian yang tak cantik dipandang bila sarung kebaya. Satu lagi, tak payah lah susah payah nak makan tongkat ali lah, minum kopi jantan lah. Dah banyak sangat yang menipu. Tak baik untuk kesihatan dalam jangka masa panjang. Cukuplah dengan mengamalkan senaman asas yang baik untuk jaga stamina dan kesihatan tubuh secara luaran dan dalaman. Itu lebih selamat.


Kalau ada petua orang-orang tua yang elok untuk diamalkan, buatlah. Contohnya, elakkan berjumpa dengan bakal suami atau isteri dalam tempoh masa 40 hari sebelum majlis, hilang seri katanya.


Sebenarnya, petua ni ada jugak rasionalnya, kalau dah lama kita tak jumpa pasangan kita, mesti la rasa rindu tu membara-bara, kan? Secara tak langsung, bila nampak je muka si dia pada hari kejadian, nak-nak pulak dia nampak segak dan jelita, mesti lah kita rasa teruja, melompat-lompat dalam hati sebab suka, perasaan nih la yang akan terpancar kat muka. Itulah 'seri' yang dimaksudkan oleh orang tua kita.


Tips : Minum air putih banyak-banyak, jangan mandi laut dan jangan buat facial dalam tempoh masa 2-3 minggu nak dekat majlis. Nanti bengkak dan merah-merah muka. Susah pulak kerja mak andam. Bagi yang lelaki pulak, elak gunting rambut sehari sebelum majlis. Potonglah 2-3 minggu sebelum. Biar rambut tu panjang sikit. Nampak natural.



Perkara asas ketiga : Budget, mas kahwin dan wang hantaran.

Ini jugak benda penting. Budget perkahwinan. Tetapkan awal-awal jenis perkahwinan macam mana yang kita impikan. Siapa yang kita nak jemput. Nak katering ke atau masak sendiri.


Kalau yang kecil-kecilan, dihadiri oleh keluarga dan kenalan terdekat je, budget tu lebih kurang sama macam kita nak buat kenduri kesyukuran atau potong jambul je. Kalau yang sederhana tapi meriah macam aku, yang jemput keluarga, ipar duai, kawan sekolah, kawan matrik, kawan universiti, kawan abah, kawan mak, kawan adik-adik dan orang sekampung, berhabis jugak lah dalam 20 - 30 ribu untuk sebelah pihak je. Kalau nak stok-stok yang macam artis pulak, tak tahu lah pulak habis sampai berapa. Mau nak kena gadai rumah dan kereta.


Walau apa pun, kalau boleh, cuba elakkan buat pinjaman atau dengan kata lain berhutang untuk kahwin. Perkahwinan ni untuk memudahkan kita, menghalalkan hubungan, bukannya untuk menyusahkan sampai terpaksa meminjam di sana-sini. Macam kes kahwin artis kita. Pinjam sampai 30 ribu untuk bayar duit hantaran diri sendiri. Belum masuk hutang nak anjurkan majlis besar-besaran kat hotel 5 bintang. Bila bercerai, habis terbongkar kat satu Malaysia, yang dia berkahwin bagai nak rak tu dulu, semua hutang je.


Pasal mas kahwin dan hantaran pulak. Seperti kita sedia maklum, apa yang wajib untuk nikah hanyalah mas kahwin. Ikutlah berapa nilai yang dah ditetapkan oleh setiap negeri. Tapi, kalau si suami nak bagi lebih pun, apa salahnya. Itu hadiah dari dia untuk isterinya. Pasal hantaran pulak, ini lah yang selalu sangat digembar-gemburkan oleh orang kita. Teringat masa aku bertunang dulu, sibuk je semua orang nak tahu berapa jumlah hantaran aku. Sampai ke makcik-pakcik setaman pun sibuk nak tahu. Padahal, hantaran ni kalau takde pun takpe.


Hantaran adalah duit belanja yang diberi oleh pihak lelaki untuk meringankan perbelanjaan majlis di sebelah pihak perempuan. Kalau ikut konsep sebenarnya, jumlah duit hantaran ni hanya boleh ditetapkan oleh pihak lelaki. Ataupun hasil perbincangan yang dah dipersetujui antara pengantin lelaki dan perempuan. Sebab ia dikira sebagai hadiah jugak. Tapi, bukan milik pengantin perempuan sepenuhnya. Ikut budi bicara keluarga masing-masing macam mana.


Tapi, orang kita zaman sekarang ni, dengan muka temboknya, pihak perempuan awal-awal dah tetapkan jumlah hantaran yang perlu ditanggung oleh pengantin lelaki. Siap dengan bangganya dicanang kat satu kampung. Sewajarnya, jumlah hantaran tu biarlah jadi rahsia antara pengantin dan keluarga sahaja. Dan kalau boleh, jumlahnya jangan lah sampai membebankan pihak lelaki. Kita nak satukan dua hati, bukannya nak biarkan pihak yang satu lagi tu hari-hari ikat perut makan megi.


Mungkin akan buat satu entri khas pasal budget lagi nanti.



Perkara asas keempat : Kursus perkahwinan.

Ini pun kita selalu sambil lewa je. Dah sibuk-sibuk tempah baju semua, lupa pulak nak pergi kursus kahwin. Nak ambil kursus kahwin pun, pastikan daripada pihak yang bertauliah. Pastikan jugak sijil tu, ada cop pejabat agama di mana kursus tu diambil. Kalau tak, dikira macam tak sah la sijil kursus kahwin tu nanti. Terpaksa lah duduk pagi sampai petang dengar 5-6 sesi ceramah lagi.


Sediakan diri dengan ilmu rumahtangga macam tauhid, munakahat, ibadat, pengurusan ekonomi, pendidikan seks, perancangan keluarga dan sebagainya. Bagi bakal pengantin yang berasal dari Johor macam aku, pergi carik balik kitab Mutaa'al Badrin takpun buku Kafa ke, hafal lah apa yang patut, sebab ada interview masa nak mohon surat nikah nanti.


Soalan apa yang ditanya?

Macam-macam lah jugak. Asasnya, kena mengucap dua kalimah syahadah, baca doa qunut, tahiyat akhir, niat mandi wajib, perkara-perkara yang menyebabkan mandi wajib dan sebagainya. Soalan kebanyakannya perkara asas je. Yang dah biasa kita amalkan. Tapi, kalau tak bersedia, mau kantoi jugak nanti.



Perkara asas kelima : Ujian HIV.

Baru je diumumkan beberapa minggu lalu. Semua bakal pengantin diwajibkan ambil ujian HIV sebelum memohon untuk bernikah. Ingat ye, takde surat doktor ni, tak boleh nikah. Lain lah kalau kamu nak kahwin kat Siam secara senyap-senyap dan hanya beritahu keluarga 8 bulan kemudian.


Ujian ni bukan bertujuan untuk menghalang cinta antara orang yang ada HIV dengan yang sihat wal'afiat. Tapi, untuk kita tak rasa macam tertipu kalau ditakdirkan bakal suami atau isteri kita tu tak beritahu yang dia ada HIV. Ia juga untuk mengelakkan kelahiran lebih ramai lagi umat menghidapi penyakit yang tiada ubatnya ni. Tapi, tak bermakna kamu tak boleh kahwin kalau kamu atau pasangan ada HIV, cuma pandai-pandai lah jaga diri.



Perkara asas keenam : Give and take.

Ini yang paling penting. Antara bakal pengantin lelaki dan perempuan, mesti sentiasa memberi sokongan antara satu sama lain. Sokongan ni meliputi dari segi moral, kewangan, fizikal, tenaga dan sebagainya lah.


Buat yang lelaki, jangan bebankan pasangan kamu dengan segala macam urusan perkahwinan. Dia lah yang carik mak andam, dia lah yang buat kad, dia lah yang beli cenderahati, dia lah yang tempah baju. Walaupun kamu dah sokong dalam bentuk kewangan, buah fikiran dan cadangan dari kamu masih diperlukan. Kalau dia pilih fesyen baju, tanya kamu, cantik ke tak, beritahu pendapat kamu. Jangan sekali-kali jawab, "Suka hati you lah. Ok lah kot. Tak tau lah." Yang nak kahwin, kamu berdua. Bukan dia seorang je.


Sokonglah bakal pengantin perempuan kamu dengan sepenuh hati. Sebolehnya, kalau mampu, cuba penuhi kehendak dan impian perkahwinannya. Jangan sekali-kali pandang remeh terhadap segala usaha yang dilakukannya untuk perkahwinan kamu berdua. Hatta, kamu rasa, tuala kecik sebagai cenderahati untuk tetamu tu, kalau takde pun takpe.


Perlu diingat, perempuan ni, sangat particular when it comes to wedding. Semua benda-benda kecik dia nampak, dia nak, sebab dia rasa macam penting. Sebab tu lah, pasangannya seorang lelaki. Yang boleh seimbangkan antara kehendak dan keperluan seorang perempuan.


Lagi satu, jangan terkejut pulak kalau-kalau, dah makin dekat dengan majlis, pasangan kamu asyik marah-marah, tertekan dan bad mood je. Sebab persiapan perkahwinan memang betul-betul menstresskan seorang wanita. Sampaikan kitaran haid pun boleh jadik tak menentu. Sebab orang perempuan ni, semua benda dia nak fikir sendiri. Masa ni lah, sokongan kamu, si pengantin lelaki adalah sangat penting.


Bagi yang perempuan pulak, jangan susahkan bakal suami dengan mintak itu dan ini. Kesian dia, hampir jadi gila sebab nak turutkan impian perkahwinan ala cinderella kamu tu. Berpada-padalah kalau nak meminta pun. Ikut kemampuan dia. Lagi bagus, kalau benda-benda yang kamu boleh buat sendiri, tak perlu upah orang atau beli kat kedai, cubalah usahakan sendiri. Ia lebih bermakna buat pasangan kamu. Dia akan hargai setiap titik peluh kamu untuk jadikan majlis perkahwinan kamu sempurna.


*****


Pokok pangkalnya, belajarlah berkongsi dengan pasangan.


Tak kiralah dari apa segi pun.


Harta-benda, kewangan, perasaan, citarasa, kasih sayang dan sokongan.


Kalau kamu dah sedia berkongsi apa saja dengan orang lain, dah maju selangkah lah tu. Barulah boleh fikir hal-hal lain pasal perkahwinan. Boleh dah nak fikir warna tema apa yang sesuai.


Sebab itu lah asas perkongsian hidup yang akan kita lalui selepas berkahwin nanti. Bukannya baju perkahwinan ala Erra Fazira kamu ataupun warna tema yang kamu sibuk-sibuk fikir tu. Semua perkara dalam bentuk material ni hanya akan digunakan masa majlis perkahwinan satu hari tu je la. Hari-hari seterusnya, asas ilmu rumahtangga inilah yang akan kamu guna sampai bila-bila.



Isu BUMPER Kahwin : Mungkin ada jugak kamu di luar sana nak berkongsi tentang perkara asas perkahwinan yang lain. Silakan. Pendapat kamu amat dialu-alukan.